KUALA LUMPUR: Pasukan audit forensik kes pemindahan hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak di sini, ada masa sebulan untuk menilai setiap dokumen urus niaga itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata audit forensik itu akan dilaksanakan Jabatan Perdana Menteri mulai bulan depan.
Katanya, pasukan audit di luar FELDA dipilih sebagaimana yang diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat audit (pengauditan forensik) dan bukannya FELDA. Tempohnya sebulan (ditetapkan bagi menyempurnakan audit itu)," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak merancang meminta mana-mana individu terutama bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad tampil memberi penjelasan kepada kerajaan dan agensi itu.
Sebaliknya kata beliau, perkara selanjutnya yang berkait aspek siasatan diserahkan sepenuhnya kepada polis, termasuk untuk memanggil individu tertentu bagi dirujuk kepada proses undang-undang.
"Kita (kerajaan dan FELDA) akan beri kerjasama sepenuhnya (kepada polis)," katanya.
Audit forensik ini dibuat selepas pengurusan FELDA tidak bersetuju dengan kes pemindahan tanah strategik di Jalan Semarak seperti yang didedahkan akhbar ini minggu lalu.
Selain audit forensik, FELDA sedang dalam proses untuk membatalkan surat kuasa (PA) yang dipercayai sudah disalahgunakan, selain menukar Kaveat Persendirian kepada Kaveat Pendaftar dengan Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur.
Sumber Sebulan untuk audit forensik tanah FELDA
0 Response to "Sebulan untuk audit forensik tanah FELDA"
Post a Comment