Bantuan bukti ekonomi baik - Ismail

BERA: Pelbagai bantuan daripada kerajaan termasuk pemberian kelengkapan persekolahan setiap tahun, membuktikan keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin dan tidak membuat janji kosong, sebaliknya sentiasa berusaha menunaikannya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terus memberi kepercayaan kepada BN untuk membolehkan lebih banyak agenda pembangunan dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan mereka.

"Kerajaan mempunyai agenda tertentu bagi membela rakyat dan tidak sesekali membeza-bezakan golongan masyarakat. Kita jangan mudah percaya dengan tohmahan terhadap kerajaan.

"Kita perlu terus menyokong kerajaan yang terbukti memberi banyak manfaat kepada rakyat seperti bantuan diberikan kepada anak-anak di Bera setiap tahun," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan 2018 Parlimen Bera dan Anugerah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 di Kompleks Rakan Muda di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan tahun ini, penerima bantuan bertambah kepada 10,000 murid berbanding 7,500 pada tahun lalu, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim dan ibu bapa yang mempunyai tanggungan ramai.

Semua penerima terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah itu menerima sumbangan sepasang pakaian sekolah, kasut dan beg sekolah.

"Insya-Allah kita akan beri lebih lagi, selagi ada yang memerlukan bantuan. Bantuan ini diberikan tanpa mengira fahaman politik. Siapa yang layak dia akan dibantu.

"Inilah manfaatnya apabila rakyat memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada, yang prihatin dengan keperluan rakyat," katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata sumbangan itu inisiatif bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Salam dan Pusat Khidmat Parlimen Bera. - BERNAMA



Sumber Bantuan bukti ekonomi baik - Ismail

Related Posts :

0 Response to "Bantuan bukti ekonomi baik - Ismail"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect