Polis Pahang menahan suspek yang didakwa ‘menjual’ empat unit rumah PR1MA yang tidak wujud. — Paparan skrin GoogleKUANTAN, 15 Mac — Seorang peneroka mengalami kerugian RM31,000 setelah ditawarkan membeli empat unit rumah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) yang tidak wujud oleh seorang lelaki dalam kejadian pada 2 Mac lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 53 tahun mendakwa telah dihubungi seorang lelaki mendakwa mempunyai syarikat perumahan dan menawarkan pakej Rumah PR1MA dengan harga RM100,000 bagi sebuah rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata tertarik dengan tawaran itu mangsa telah bersetuju membeli empat rumah iaitu dua unit di Kuala Krau manakala dua unit lagi di Anak Bukit, Kedah dengan membuat bayaran RM7,500 untuk tujuan pengurusan dan peguam.
“Mangsa kemudian telah membuat penambahan bayaran hingga mencecah RM31,000 bagi empat unit rumah PR1MA itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Teruja dengan perkara tersebut, katanya mangsa telah menghubungi anaknya yang menetap di Kedah untuk bertanyakan tentang kedudukan rumah PR1MA yang ditempah itu, namun diberitahu bahawa ia tidak wujud.
Wazir berkata menyedari dia ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.
Berdasarkan siasatan, polis berjaya mengesan sebelum menahan suspek yang berumur 29 tahun di hadapan sebuah restoran Desa Murni, Temerloh pada 5 petang semalam.
Beliau berkata polis turut merampas beberapa dokumen perjanjian jual beli rumah serta cek yang bernilai ratusan ribu, dipercayai milik beberapa lagi mangsa.
Suspek kini direman hingga 18 Mac depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. — Bernama
Sumber Beli rumah PR1MA tidak wujud, peneroka lapor polis
0 Response to "Beli rumah PR1MA tidak wujud, peneroka lapor polis"
Post a Comment