
Oleh Fahmy Azril Rosli
KUALA LUMPUR: Beza antara orang muda dengan dewasa adalah soal pengalaman dan kematangan, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Mohd Anuar Mohd Tahir.
Itu respon Anuar terhadap kenyataan Ketua Pemuda PAN Selangor, Abbas Azmi yang menempelak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya, orang muda kadangkala tidak faham cerita sebenar dan terus membuat kenyataan.
"Orang muda, pengalaman tak banyak, tak tahu proses negotiation (rundingan) macam mana.
"Itu memang (sikap orang muda). Tetapi, kita janganlah terlalu marah orang muda dan perkecilkan mereka.
"Biarkan mereka (Pemuda PAN) tegur (Mohamed) Azmin. Orang muda, ...kadangkala mereka tidak faham cerita sebenarnya. Jadi mereka komen," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Mengulas lanjut tindakan Ketua Pemuda PAN Selangor itu, pihaknya tidak akan mengambil tindakan susulan kenyataan Abbas yang dilaporkan tidak berpuas hati terhadap Mohamed Azmin.
Anuar berkata, sebenarnya tidak timbul isu ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli atau kepimpinan kerana banyak pengagihan kawasan sudah selesai.
Walaupun ada beberapa negeri antaranya Selangor belum selesai isu pengagihan kerusi, beliau menegaskan jika wujud masalah pengagihan atau pertindihan kawasan boleh diselesaikan pada bila-bila masa.
Sebelum ini, Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim turut dipetik sebagai berkata, jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi membincangkan agihan kerusi DUN.
Berikutan itu, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR membidas PAN dengan menyifatkannya sebagai parti penipu serta tidak amanah apabila cuba memutar belit isu pembahagian kerusi DUN Selangor.
Sumber Orang muda tak faham proses rundingan - Anuar
0 Response to "Orang muda tak faham proses rundingan - Anuar"
Post a Comment