
KUCHING: Bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Sarawak meningkat sekali ganda petang ini, apabila lima lagi dibuka menjadikan jumlahnya 10 kini.
Lima PPS yang dibuka mulai jam 10 pagi tadi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin di Sadong Jaya yang menempatkan 84 mangsa daripada 38 keluarga dan Masjid Kampung Seruyuk, Simunjan (80 mangsa daripada 36 keluarga).
Selain itu, Dewan Masyarakat Kampung Segali, Simunjan (135 mangsa daripada 25 keluarga), Dewan Suarah Kota Samarahan (23 mangsa daripada empat keluarga) dan Dewan Lintang Baru, Serian (94 mangsa daripada 25 keluarga).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hingga jam 4 petang ini, jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 746 orang daripada 199 keluarga.
Lima PPS dibuka sejak semalam membabitkan tiga di Kuching, iaitu Surau Ar Rahman Kampung Sungai Batu (35 mangsa daripada tujuh keluarga); Masjid Darul Mustaqin, Kampung Buntal (125 mangsa daripada 20 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya (121 mangsa daripada 31 keluarga).
Dua lagi PPS yang masih aktif ialah Dewan Pembangunan Sebuyau di Kota Samarahan yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga dan Dewan Kampung Betong Kenawit, Serian (16 mangsa daripada lima keluarga).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning (waspada) di negeri ini, hari ini.
Ia berikutan hujan lebat dijangka berlaku di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Selangau dan Mukah yang diramal berlarutan hingga esok.
Keadaan itu dikhuatiri memburukkan lagi keadaan apabila air pasang besar dengan ketinggian mencapai 6.1 meter dijadual berlaku pada jam 8 malam ini.
Sumber Jumlah mangsa banjir Sarawak meningkat
0 Response to "Jumlah mangsa banjir Sarawak meningkat"
Post a Comment