Ibu tiri dan bapa Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah ketika dibawa untuk perintah reman, 2 Februari 2018. ― Foto Bernama PORT DICKSON, 4 Feb — Rakan mangsa dera bapa sendiri Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah terasa “hidup kosong” apabila murid itu mati Khamis lalu.
Putri Aine Sofhylea Mohd Shahjehan, 9, tidak memberi perhatian di kelas dan asyik menangis di rumah terkenang rakan sekelasnya itu, lapor Berita Harian.
Nur Aina, yang duduk di sebelahnya, bersamanya ke mana sahaja mereka pergi di sekolah. “Apabila dia sudah tiada, hidup saya terasa kosong,” katanya.
Beberapa hari sebelum didera hingga mati di rumahnya di Lukut dekat sini, cerita Putri Aine lagi, Nur Aina “kelihatan begitu takut.”
“Sebelum pulang dari sekolah, dia memeluk erat saya sebelum menangis sekuat hati,” katanya kepada akhbar itu sambil menitiskan air mata.
Apabila mengetahui kematian rakannya itu Jumaat lalu, Putri Aine dilaporkan tidak dapat memberi tumpuan dan hanya memandang tempat duduk Nur Aina.
“Kalau boleh saya tidak mahu ada murid lain duduk di sebelah saya kerana meja dan kerusi ini milik Nur Aina,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini.
Fazidah Mat Saad, 42, ibu murid Sekolah Kebangsaan Lukut itu, berkata anaknya menangis setiap hari termasuk waktu malam kerana merindui arwah.
Nur Aina, 9, ditemukan tidak sedarkan diri di rumah bapanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Mangsa cedera parah pada organ dalaman seperti putus pankreas, hati terkoyak, cedera buah pinggang, usus terkoyak dan tulang rusuk patah.
Sumber Nur Aina mati didera, hidup rakan baik ‘terasa kosong’
0 Response to "Nur Aina mati didera, hidup rakan baik ‘terasa kosong’"
Post a Comment