Menurut Lisda, disebabkan saiz kandungannya kecil, ada kalangan kru produksi menyangka dia sekadar mengalami perubahan fizikal yang biasa. Lebih-lebih lagi apabila dia sendiri memberi alasan kononnya mahu menyesuaikan diri dengan watak yang dilakonkan.
"Saya tiada niat nak sorok (berita hamil). Cuma saya tidak mahu orang risau. Sebenarnya sewaktu usia kandungan tiga bulan, saya ditawarkan berlakon dalam drama Mr. Grey dan kemudian drama Makmum Yang Paling Aku Cinta (yang kini sedang ditayangkan di saluran HyppTV).
"Saya terima tawaran itu dan tidak memberitahu pihak produksi saya hamil kerana tidak mahu mereka akan fikir saya penat atau tidak boleh beri komitmen sedangkan saya
mampu bekerja. Lagipun watak saya sebagai ibu dan tak perlu memakai baju yang mengikut bentuk badan.
"Jadi saya pun cari lah baju yang bersaiz besar sesuai dengan watak saya. Ada juga kru yang menegur saya dan mereka fikir saya sekadar mengalami perubahan fizikal yang biasa. Dan ketika itu saya iyakan saja kata-kata mereka dan beri alasan mahu sesuaikan dengan watak. Alhamdulillah, saya boleh jalani penggambaran kedua-dua drama sehingga selesai dengan lancar dan tiada masalah," tuturnya sambil tersenyum.
Lisda yang kini hamil tujuh bulan berkongsi mengenai perkembangan dirinya ketika ditemui pada acara My Town Night Ride, bertempat di Matic, malam tadi.
Dalam pada itu, kata isteri kepada pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi ini berkata, seperkara yang membuatkan dia berasa lucu kerana sewaktu dia disahkan hamil, kebetulan ketika itu banyak berita mengenai beberapa artis lain juga berbadan dua termasuklah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
"Apabila saya dapat tahu saya mengandung, saya diam saja. Dan kebetulan, Datuk Siti umum beliau hamil. Selepas itu seorang demi seorang artis mengumumkan diri mereka hamil.
"Seperti satu fenomena pula, apabila seorang artis mula mengandung semua mengandung. Jadi saya pun senyap sajalah,"katanya sambil tertawa.
Lisda yang sekarang sudah berehat daripada lakonan dijangka bakal melahirkan cahaya mata keempatnya itu selepas hari raya Aidilfitri.
"Saya sudah jalani pemeriksaan imbasan dan InsyaAllah saya akan timang anak lelaki," katanya yang sudah mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Tambahnya lagi, dia dan suaminya tidak merancang untuk menimang lagi zuriat namun menganggap kehadiran 'orang baru' ini dalam keluarga mereka sebagai rezeki daripada
Tuhan.
"Kami tidak merancang tapi ini rezeki. Pertama kali saya mengandung pada usia 29 tahun. Kini saya berusia 39 tahun. Rasanya cukuplah empat orang dan selepas ini sudah tiba masanya saya betul-betul memberikan fokus kepada anak-anak," tuturnya.
Aktif Berbasikal
Sementara mengenai penglibatannya menjayakan program My Town Night Ride, Lisda berkata dia seronok dan tidak mempunyai masalah untuk berbasikal walaupun dalam keadaan sarat.
"Bab berbasikal tiada masalah. Semasa kandungan saya empat bulan, saya jayakan acara Hari Wanita dan saya berjaya berkayuh sejauh 10 kilometer di Putrajaya. Dua minggu lalu, saya sertai satu lagi acara berbasikal juga sejauh 10 kilometer.
"Tetapi saya mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum melakukan aktiviti ini dan setiap kali selepas selesai aktiviti saya akan terus pergi ke hospital untuk melakukan pemeriksaan. Alhamdulillah, kata doktor bayi saya aktif," katanya.
Dalam acara My Town Night Ride, Lisda serta selebriti terkenal lain seperti Balkisy Khan, Maria Tunku Sabri dan Chef Fikrie bersama wakil media berkayuh mengelilingi ibu kota Kuala Lumpur selama dua jam.
Sumber Lisdawati Sengaja Kunci Mulut, Tak Mahu Orang Risau
0 Response to "Lisdawati Sengaja Kunci Mulut, Tak Mahu Orang Risau"
Post a Comment