“Itu Cara Dia Berkarya” – Sufian Suhaimi

“Itu Cara Dia Berkarya” – Sufian Suhaimi

Tidak kisah lirik diubah. (Pic: Instagram @sufiansuhaimi_ dan @fatiyalatiff)

Ketika netizen kecoh mendakwa lagu balasan Di Matamu yang dinyanyikan Fathia Latiff seperti yang dimuat naik pelakon itu di laman YouTube baru-baru ini sebagai cubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan, pendendang lagu asal, Sufian Suhaimi lebih bersikap terbuka dan positif terhadap usaha itu.

Bagi Sufian, tindakan Fathia merakam semula lagu hitsnya dan mengubah liriknya sehingga menjadi lagu balasan adalah sebagai cara aktres terbabit berkarya.

"Sebelum ini, memang ramai yang membuat 'cover' lagu ini dan saya sudah pun mendengarnya. Bagi saya, ini adalah antara lagu 'cover' yang kreatif. Saya tak rasa apa-apapun dan melihatnya sebagai cara untuk Fathia berkarya. Saya puji hasil kerjanya itu dan produksi terbabit.

Harap bukan sindiran.

"Cuma harapan saya, apabila dia menyanyikan semula lagu itu dalam versinya sendiri, janganlah dia ada niat tertentu seperti membuat serangan peribadi secara berkias sehingga dilihat seperti cuba mencampuri urusan peribadi orang lain," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Terdahulu pelakon kontroversi itu dikecam netizen kerana seolah-olah cuba memanjangkan kontriversi putus tunang pasangan itu apabila turut mengaitkan bekas tunangnya, Elfira Loy ketika memuat naik video terbabit di Twitter.

Tambah Sufian lagi, budaya menukar lirik serta merakamkan lagu balasan kepada sesebuah lagu bukanlah perkara asing dalam industri hiburan.

Biarlah anggap gurauan.

"Di luar negara pun ada melakukan perkara sama contohnya lagu If I Was A Boy yang dinyanyikan Beyonce dan Perfect oleh Ed Sheeran. Jadi, ia bukanlah satu perkara yang pelik buat saya," kata pemuda berusia 26 tahun ini.

Sejak ikatan pertunangan mereka berakhir, tidak dinafikan perkara itu sering menjadi bahan sendaan pelbagai pihak. Walaupun mungkin mereka beranggapan ia hanyalah sebagai satu gurauan namun dari aspek lain, perbuatan seperti itu dilihat sebagai tidak sensitif.

Bukan perkara pelik, ubah lirik dan nyanyi semula.

Menjawab pertanyaan itu, jejaka berkaca mata ini menjelaskan dia bukanlah seorang yang cepat melatah dalam berdepan situasi itu.

"Kita berada dalam lingkungan masyarakat yang suka bergurau dan kebetulan pula saya berada dalam industri hiburan. Sekiranya mereka berbuat begitu dengan tujuan memberi sesuatu kepada industri, saya tak anggap itu salah.

Tidak mahu sesiapa tersinggung.

"Cuma dalam apa juga yang kita lakukan, biarlah ada batasan. Janganlah sampai ada mana-mana pihak yang tersinggung. Tapi saya okay sahaja. Tak terasa hati pun," ujarnya sambil tersenyum.

Februari lalu, dunia hiburan kecoh apabila Filzah Yusoff iaitu ibu pelakon Elfira, mengesahkan pertunangan anaknya dengan Sufian yang popular dengan lagu, Terakhir, putus.

Mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober, spekulasi ikatan pasangan ini goyah mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di laman sosial.



Sumber “Itu Cara Dia Berkarya” – Sufian Suhaimi

0 Response to "“Itu Cara Dia Berkarya” – Sufian Suhaimi"

Post a Comment