Anggota polis maut dirempuh SUV

Seorang anggota polis maut selepas kereta peronda yang dinaikinya dirempuh kereta jenis SUV di Kilometer 297.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara berhampiran kajang, hari ini, lapor Harian Metro. 
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi, mangsa, Koperal Dommy Tugok, 30-an, yang ketika itu sedang membuat pemeriksaan terhadap sebuah bas di laluan kecemasan, maut di lokasi kejadian. 
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kereta SUV yang dipandu oleh lelaki muda itu hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta peronda polis. 
"Kejadian berlaku apabila SUV dipandu lelaki berusia 21 tahun hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis dinaiki mangsa dari arah belakang. 
"Kereta peronda terbabit berada di belakang bas berkenaan ketika kejadian. 
"Anggota polis berkenaan yang berada bersebelahan kereta peronda terbabit kemudian tercampak ke pembahagi jalan akibat pelanggaran itu," katanya. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Manakala pemandu SUV terbabit tidak mengalami kecederaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber Anggota polis maut dirempuh SUV

0 Response to "Anggota polis maut dirempuh SUV"

Post a Comment