‘PM’ pembangkang tiada masa depan, pendirian macam kartun

Datuk Seri Najib Razak bersemangat ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2017. ― Foto BernamaDatuk Seri Najib Razak bersemangat ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2017. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 9 Dis ― Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memberikan tiga ‘bekalan’ kepada perwakilan Umno untuk dibawa pulang dari perhimpunan agung parti itu ke kawasan masing-masing dalam usaha untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perdana Menteri berkata bekalan pertama ialah supaya pimpinan di peringkat Bahagian Umno menyelesaikan sebarang masalah kepimpinan secara ‘musyawarah’ (berunding) dalam semangat kekeluargaan parti.

Beliau berkata ia memandangkan kedudukan kepimpinan tertinggi telah diselesaikan para perwakilan yang meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

“Di peringkat Bahagian ini, pakat-pakatlah selesaikan, saya tahu mana Bahagian yang ada masalah, ada yang tidak bertegur sapa…tolong selesaikan dalam semangat kekeluargaan Umno,” katanya ketika berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2017 yang berakhir hari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib berkata para perwakilan dan anggota Umno juga perlu menerima keputusan parti dalam menentukan calon pilihan raya  atas semangat cintakan parti.

“Kalau kita lihat di bahagian Utara Semenanjung, kita ada Special Border Economic Zone (Zon Ekonomi Sempadan Khas), dan jika kita turun ke Perak, kita juga ada West Coast Expressway (Lebuhraya Pantai Barat), kita akan ada kilang Proton yang baharu yang akan dibina di Tanjung Malim, dan Lembah Klang pula iaitu Kuala Lumpur kini telah menjadi antara 10 bandar yang liveable (sesuai didiami) dan bandaraya keempat di dunia menerima paling ramai kedatangan pelancong.

“Selain itu kita ada MRT (Transit Aliran Massa) yang laluan kedua dan ketiga kini sedang dibina di mana kita akan pastikan 50 peratus ruang perniagaan di stesen-stesen MRT itu akan diisi oleh peniaga Bumiputera,” kata Najib yang juga menteri kewangan.

Sambil  berkata keadaan itu amat berbeza berbanding pembangkang yang tiada agenda jelas dan sentiasa kucar-kacir, beliau menyifatkan pendirian mereka seperti ‘kartun’ apabila kerap berubah mengenai sesuatu perkara.

Dalam ucapan penangguhannya itu, Najib turut membangkitkan persoalan pokok mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya.

“Saya dengar khabar, ada orang bernama Lim Kit Siang minat untuk jadi perdana menteri….kemudian, ada pula seorang yang berumur 93 tahun minat untuk menjadi perdana menteri lagi, yang senja meniti malam, (perdana menteri) Zimbabwe pun sudah tidak ada, jadi bagaimana kita hendak meletakkan masa depan kita kepada dua individu ini,” katanya.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada perwakilan yang meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, dan berjanji menjunjung amanah besar itu untuk terus memimpin bahtera besar Umno menuju masa depan yang cerah dan gemilang.

Beliau berkata walaupun telah mengetahui yang usul itu akan dibincangkan pada perhimpunan kali ini, beliau mengambil pendirian untuk tidak campur tangan kerana perkara itu berkaitan dengan kedudukannya selaku presiden parti.

“(Ini) kerana saya percaya keputusan untuk membawa usul itu ke perhimpunan kali ini mestilah datang dari perwakilan bukan atas petunjuk daripada presiden atau bukan kerana saya membisik perkara itu,” kata beliau.

Dalam sidang media selepas itu, Najib berkata keputusan berkenaan dibuat mengikut perlembagaan kerana kuasa tertinggi adalah perhimpunan agung yang boleh meminda perlembagaan parti.  

Berhubung perhimpunan agung kali ini yang berlangsung lima hari dan berakhir hari ini, Najib menyifatkan ia luar biasa’’ dan sangat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan mesyuarat parti.

Ketika ditanya sama ada PRU14 akan diadakan dalam tempoh terdekat, Najib mengulangi jawapan: “anytime before June (bila-bila masa sebelum Jun)”. ― Bernama



Sumber ‘PM’ pembangkang tiada masa depan, pendirian macam kartun

Related Posts :

0 Response to "‘PM’ pembangkang tiada masa depan, pendirian macam kartun"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect