LONDON: Bintang tengah Manchester City, Kevin De Bruyne berharap dapat bertemu pemain Manchester United, Paul Pogba pada pertembungan Liga Perdana Inggeris Ahad ini kerana dia gemar menentang 'pasukan dan pemain terbaik'.
Pogba yang mengemudi jentera tengah United akan memulakan penggantungan tiga perlawanan susulan kad merah yang diterimanya selepas melakukan kekasaran tidak sepatutnya ke atas pemain Arsenal, Hector Bellerin.
Tonggak skuad kebangsaan Perancis berusia 24 tahun itu pada minggu lalu berkata 'amat penting' jika pemain-pemain City dipalit kecederaan ketika pemburuan kejuaraan sedang hangat.
"Saya tidak mempercayainya," kata De Bruyne. "Saya adalah seorang yang berterus terang. Jika seseorang percaya mengenai karma, tidak mengapa.
"Semua orang berhak untuk mengeluarkan pandangan mereka. Saya tidak mahu sesiapapun mengalami kecederaan. Ia satu kejohanan, kami mahu bermain menentang pemain terbaik dan pasukan terbaik.
"Dia seorang pemain yang terkemuka. Saya mengenalinya serba sedikit. Dia menakjubkan. Dia mendapat kad merah dan itulah yang berlaku, kamu mengalami kecederaan dan penggantungan."
City ketika ini memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga mengatasi United di tangga kedua menjelang perlawanan pertama kedua-dua kelab tetangga itu musim ini di Old Trafford.
"(Jika menang) Ia bermakna kami akan mendapat kelebihan untuk empat perlawanan. Ia adalah jurang yang bagus tetapi ia tidak bermakna apa-apa," kata De Bruyne.
"Bola sepak berjalan dengan amat pantas. Ia akan menjadi dua minggu yang sibuk dan apa saja boleh berubah tetapi kami berada di landasan terbaik dan perlu meneruskannya."
De Bruyne tidak berkunjung ke Ukraine bagi pertembungan terakhir City di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk susulan penggantungan. - Reuters
Sumber De Bruyne kecewa 'tak jumpa' Pogba
0 Response to "De Bruyne kecewa 'tak jumpa' Pogba"
Post a Comment