KUALA TERENGGANU – Kisah penduduk berebut kutip ikan atau beras dari lori terbalik akibat kemalangan mungkin agak biasa tetapi kali ini kelapa menjadi tumpuan setelah kapalnya karam.
Pantai Tok Jembal penuh 200,000 biji kelapa dari kapal karam
Ratusan penduduk berdekatan Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus tidak melepaskan peluang mengambil kira-kira 200,000 biji kelapa tua seberat 180 tan metrik yang hanyut dari sebuah kapal kargo dari Indonesia pada Sabtu.
Menurut media tempatan, kapal KLM Pesona Kharisma membawa muatan buah tersebut bernilai RM28,000 itu, dalam pelayaran dari Tembilahan, Riau, Indonesia, menuju ke Narathiwat, Thailand sebelum karam jam 3 pagi.
Tujuh anak kapal warga Indonesia terpaksa bertarung nyawa apabila kapal dinaiki mereka itu bocor dan kemudian dimasuki air laut sebelum hancur ekoran teruk dipukul ombak lalu bertembung batu pemecah ombak dekat pantai.
Akibat kejadian tidak dijangka tersebut, puluhan ribu biji kelapa yang dibawa hanyut ke pantai berkenaan sebelum penduduk berdekatan datang membantu untuk memungut kelapa itu manakala krew kapal tersebut pula selamat.
Anak kapal yang hanya mahu dikenali sebagai Wahyudi, 20, berkata, mereka menyedari kebocoran di bahagian bawah kapal kira-kira pukul 2 pagi dan asalnya mengalami masalah mekanikal pada bahagian bawah kapal itu.
“Kami bertolak dari Riau pada Khamis lalu tetapi sebaik tiba di perairan negara ini, kapal mulai bocor. Kami cuba mencari tempat berlabuh yang paling dekat untuk baiki tetapi malangnya tidak sempat tiba.
“Kapten kapal (Rudi Hartono) kemudian mengarahkan semua anak kapal menyelamatkan diri dengan menaiki sebuah sampan kecil yang memang ada di kapa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Rudi, 37, berkata, walaupun menyedari kapal mereka dimasuki air, dia tetap cuba menyelamatkan kapal daripada karam namun hujan lebat dan ribut kencang di perairan kemudian memburukkan lagi keadaan.
“Bagaimanapun keadaan semakin buruk dan saya segera mengarahkan anak kapal menuju daratan menggunakan sampan sebaik sahaja kapal mulai pecah sedikit demi sedikit tanpa dapat dikawal,” kata beliau lagi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia DM9 Terengganu, Kapten Maritin Rahim Ramli mengesahkan baawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dari Balai Polis Gong Badak kira-kira jam 9 pagi Sabtu.
Susulan itu, beliau mengarahkan kapal BM KILAT 2 dengan lima anggota ke lokasi kejadian untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. Kesemua tujuh mangsa berusia antara 20 hingga 43 tahun itu selamat.
“Mereka kemudian diiringi ke Pejabat Maritim DM9 untuk siasatan lebih lanjut sebelum proses penghantaran pulang kesemua krew rakyat Indonesia itu diuruskan,” katanya lagi.
Sumber: Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Sumber Pantai Tok Jembal penuh 200,000 biji kelapa dari kapal karam
0 Response to "Pantai Tok Jembal penuh 200,000 biji kelapa dari kapal karam"
Post a Comment