Pengarah Eric Ong (tiga, kanan) menyampaikan ucapan selepas 'Adiwiraku' dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM ke-29 di PWTC 23 Sept 2017. — Foto BernamaTOKYO, 28 Okt — Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2017 (TIFF 2017), satu daripada empat festival filem terbesar dan paling berprestij di Asia, turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pengarah filem dan pelakon dari Malaysia.
Eric Ong, Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia 2017 (FFM) menerusi filem "Adiwiraku" dan Jason Chong penulis lakon layar terbaik FFM dan Sangeeta Krishnasamy pelakon wanita terbaik filem yang sama, merupakan antara ribuan bintang dan pengarah filem terkemuka dari Jepun serta seluruh dunia yang menghadiri majlis "Networking Reception" bersempena TIFF 2017 di Rappongi Hills di sini malam tadi.
Ribuan artis, pengarah dan penerbit serta ahli perniagaan dari seluruh dunia berkumpul di bandar raya ini menghadiri festival itu yang berlangsung dari 24 Okt hingga 3 Nov.
Adiwiraku arahan Ong berjaya sebagai "official selection" untuk tayangan dan menembusi slot "Crosscut Asia" mewakili filem-filem yang menempa kejayaan dari negara-negara Asia.
Ini adalah tayangan premier filem tersebut di Jepun setelah berjaya mewakili Malaysia di Phoenix Film Festival Melbourne 2017; 11th Asia Pacific Screen Awards di Australia dan Malaysian Film Festival-Singapore (MFFSG17).
Penceritaannya diangkat daripada kisah sebenar, Cikgu Cheryl Ann Fernando yang bertugas di sekolah luar bandar. Elemen "citra karya" iaitu kisah tempatan yang diolah dengan bahasa filem yang universal ialah antara kekuatan filem itu.
Ketika ditemui Bernama, Ong berkata pengalamannya mengarahkan filem itu bermula pada 2016, apabila semasa beliau mencari idea untuk menerbitkan sebuah filem pendek, rakan penerbitnya, Jason Chong mencadangkan agar beliau menerbitkan kisah seorang guru menghadapi cabaran mengajar bahasa Inggeris di kawasan luar bandar.
Ong tertarik dengan pengalaman cikgu Sheryl yang mengajar di SMK Pinang Tunggal di Baling Kedah, kerana ia menceritakan kisah benar bagaimana segolongan anak-anak Melayu sebuah sekolah kampung, mendapat kejayaan walaupun hidup dalam kemiskinan dan pelbagai kesusahan.
Beliau berkata menenerusi filem itu beliau mahu menangkis tanggapan masyarakat yang suka menyalahkan murid-murid apabila berlaku sesuatu keadaan.
“Kita tak pernah nak ambil tahu apa masalah dia orang...dan cerita ini seratus peratus benar,” katanya.
Kata Ong, kisah guru tersebut menyentuh perasaannya kerana beliau sendiri pernah menjadi guru sandaran selama setahun di sebuah estet kelapa sawit di Salak Tinggi pada 1986 dan walaupun 30 tahun sudah berlalu tetapi anak-anak di kampung masih terperangkap dalam situasi yang sama.
Katanya pengalaman beliau mengajar di luar bandar dahulu cukup mencabar dengan keadaan kekurangan bilik darjah sehinggakan murid-murid daripada kelas yang berlainan terpaksa berkongsi bilik darjah.
Menerusi filem itu, Ong berkata beliau ingin memberi mesej walaupun setiap orang ada masalah tersendiri tetapi masih ada guru-guru yang sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk memberi kasih sayang dan perhatian kepada murid-murid di luar bandar sehingga berjaya meningkatkan keyakinan diri mereka.
Kepada guru dalam filem ini, murid-muridnya adalah "adiwira" manakala bagi murid-muridnya, cikgu Sheryl adalah "adiwira" mereka.
Ong menyanjung sokongan Kementerian Pendidikan dan beberapa buah sekolah di Sungai Petani yang terlibat, termasuk meminjamkan dewan sekolah dan pelajar-pelajar mereka sebagai pelakon tambahan.
Beliau berhasrat untuk menerbitkan filem sekuel "Adiwiraku 2" dan berharap men dapat pembiayaan daripada Finas memandangkan sebelum ini, beliau menghadapi masalah kewangan kerana "Adiwira" diterbitkan atas pembiayaan sendiri.
Sementara itu, Edmund Yeo, pengarah "Aqerat," mempertaruhkan filem yang menyelongkar isu pemerdagangan manusia merentasi sempadan, berjaya menjadi finalis bersama 14 filem lain dari seluruh dunia bagi merebut Anugerah Grand Prix (Filem Terbaik).
Filem arahan pengarah muda berusia 33 tahun itu terpilih daripada 1, 538 penyertaan mewakili 88 buah negara.
Ia merupakan kejayaan peribadi kedua Edmund setelah filem pertamanya "River of Exploding Durians" juga bertanding dalam kategori yang sama pada edisi 2014.
Karya dokumentari beliau yang menceritakan tentang pengarah terkenal Allahyarham Yasmin Ahmad, "Yasmin-san" juga dipilih penganjur bagi tayangan khas di bawah segmen "Crosscut Asia."
Yeo kini dalam proses penggambaran filem baharu "Malu" yang separuh daripada lokasi penggambaran dijalankan di Malaysia manakala separuh lagi di Jepun. — Bernama
Sumber Dinobat filem terbaik, pengarah mohon dana ‘Adiwiraku 2’
0 Response to "Dinobat filem terbaik, pengarah mohon dana ‘Adiwiraku 2’"
Post a Comment