Peguam kerajaan, Suzana Atan berkata, Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB eksklusif untuk PAC yang memutuskan untuk tidak membentangkannya di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali tiada locus standi untuk memfailkan saman supaya Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB didedahkan.
Peguam kerajaan, Suzana Atan berkata, kepentingan undang-undang Azmin tidak terjejas secara langsung.
“Laporan itu hanya disediakan untuk PAC,” katanya merujuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, sebuah jawatankuasa tetap yang ditubuhkan Parlimen.
Suzana berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerana ia disediakan eksklusif untuk PAC yang menyiasat ketidakteraturan kewangan oleh pelabur disokong kerajaan.
Beliau berkata, PAC mengemukakan penemuannya kepada Dewan Rakyat pada April tahun lalu, tetapi memutuskan tidak akan memasukkan laporan itu.
“Ketua audit negara tidak mengemukakan laporannya kepada Parlimen,” katanya sambil menambah dokumen itu satu pengecualian dan tidak perlu mematuhi Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.
Suzana berkata, dalam keadaan normal, ketua audit negara membentangkan laporan audit tahunannya mengenai agensi kerajaan kepada Parlimen.
Katanya, Laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan rahsia rasmi selepas dokumen interim yang dikemukakan kepada PAC pada Julai 2015, bocor.
Peguam Azmin, Tommy Thomas berkata, Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong dan speaker Dewan Rakyat membentangkan Laporan Ketua Audit Negara tahunan dan dokumen kepada PAC tidak terkecuali.
“Semua 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat mempunyai hak perlembagaan untuk menerima laporan itu apabila PAC membentangkan penemuannya mengenai 1MDB,” katanya.
Beliau berkata, Azmin menggunakan kaedah undang-undang kerana speaker Dewan Rakyat enggan mendedahkan laporan itu.
“Ahli Parlimen tidak akan mempunyai kebebasan bersuara di Dewan Rakyat jika mereka tidak boleh membaca laporan itu.”
Katanya, laporan itu perlu didedahkan kerana Sarawak Report sudah mendedahkan dokumen itu pada Julai 2016.
“Lebih-lebih lagi perdana menteri sudah berjanji akan mendedahkan laporan itu selepas PAC melengkapkan siasatannya,” katanya.
Azmin, dalam permohonan semakan kehakimannya memetik keterangan Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang dalam perbicaraan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), beliau mengklasifikasikan laporan itu atas arahan Najib.
Azmin berkata, ketua audit negara dan Najib tidak boleh bersembunyi di sebalik OSA kerana enggan mendedahkan laporan itu.
Katanya, Najib mempunyai konflik kepentingan disebabkan peranannya ketika itu sebagai penasihat 1MDB.
Hakim, Datuk Wira Kamaludin Md Said akan menyampaikan penghakimannya pada 5 Disember ini.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber ‘Azmin tiada locus standi fail saman laporan audit 1MDB’
0 Response to "‘Azmin tiada locus standi fail saman laporan audit 1MDB’"
Post a Comment