Ribuan hadir, pengebumian pelajar tahfiz penuh hiba

Sebanyak 12 liang lahad siap digali di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah bagi proses pengebumian pelajar tahfiz dan tenaga pengajar yang terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. ― Foto BernamaSebanyak 12 liang lahad siap digali di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah bagi proses pengebumian pelajar tahfiz dan tenaga pengajar yang terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 15 Sept ― Pengebumian pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, yang terkorban dalam kejadian kebakaran sejurus sebelum subuh semalam, berlangsung dalam suasana penuh hiba.

Setakat 7.30 malam ini hanya jenazah Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10, dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul  Sakinah Karak di Taman Batu Muda manakala Muhammad Haikal Abdullah, 12, dikebumikan di tanah perkuburan Dato Keramat.

Selain Allahyarham Muhammad Aidil Aqmal, 10, jenazah lain terdiri daripada kanak-kanak berumur 10 hingga 16 tahun dijangka dikebumikan serentak secara berkumpulan di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah Karak selepas waktu maghrib.

Daripada 21 pelajar lelaki yang maut, 11 mangsa termasuk tiga beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Karak di Taman Batu Muda.

Sembilan yang lain akan dikebumikan malam ini di beberapa lokasi antaranya di tanah perkuburan Jalan Ampang; Taman Kosas; Dato Keramat; Taman Medan, Jalan Klang Lama; Bukit Kuari, Cheras dan Puchong.

Tiga lagi jenazah, masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak). 

Upacara pengebumian itu mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan beberapa stesen televisyen turut membuat liputan secara langsung di tanah perkuburan itu.

Selain itu ribuan orang ramai yang hadir di tanah perkuburan itu bagi  melahirkan rasa simpati kepada waris dan anggota keluarga mangsa dan turut bersama-sama berdoa selepas bacaan talkin.

Dua puluh satu pelajar dan dua warden yang juga guru, terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz itu awal pagi semalam. ― Bernama



Sumber Ribuan hadir, pengebumian pelajar tahfiz penuh hiba

0 Response to "Ribuan hadir, pengebumian pelajar tahfiz penuh hiba"

Post a Comment