'Koboi Malaysia' dilantik penaung Ally's International Taekwondo

MELAKA: Melebarkan sayap dalam bidang baharu, usahawan terkenal, Datuk Dr Nek Abd Rahman Saleh yang turut dikenali sebagai 'Koboi Malaysia' menyahut cabaran apabila dilantik sebagai Penaung pertubuhan taekwondo, Ally's International Taekwon-Do Martial Arts.

Nek Abd Rahman yang tidak mempunyai sebarang ilmu asas seni mempertahankan diri pada mulanya terkejut apabila dipilih oleh pengasas pertubuhan berkenaan dan Grandmaster, Ally Teoh, 80, untuk menjadi penaung.

"Apabila berita ini dimaklumkan kepada saya baru-baru ini, ia sesuatu yang agak mengejutkan kerana bukan saja saya tiada ilmu (taekwondo), malah pelantikan juga dari seorang mahaguru taekwondo yang bukan calang-calang orang.

"Menyedari keyakinan beliau (Teoh) terhadap saya yang dianggap mampu mengangkat seni mempertahankan diri ini, selain kagum dengan semangat taekwondo yang ada dalam dirinya, saya terima dengan terbuka dan akan mendalami ilmu ini," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelantikan itu di kediaman Teoh di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, Teoh menyerahkan watikah pelantikan Rahim Abdullah sebagai Grandmaster pertama Ally's International Taekwon-Do Martial Arts bagi menyambung legasi beliau.

Berikutan pelantikan itu, usahawan yang menjalankan perusahaan berkaitan kuda dan produk haiwan berkenaan sejak tahun 1996 bakal menubuhkan sebuah akademi taekwondo yang diiktiraf dalam dan luar negara untuk penuntut di bawah 'Ally's International Taekwando Martial Arts'.

"Ia bagi memastikan pertubuhan taekwondo ini mempunyai hala tuju dengan pensijilan

yang diiktiraf. Pada masa sama, saya akan mempelajari seni pertahankan diri ini secara perlahan-perlahan dari jurulatih yang sedia ada di bawah pusat ini,"katanya.

Mula dikenali selepas menghasilkan produk susu kuda yang mampu menjadi penawar kanser pada tahun 1996, Nek Abd Rahman menamatkan tugas sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan di Bukit Aman pada usia 55 tahun.

Sementara itu, Teoh yang menghidap penyakit fibrosis paru-paru sejak lima tahun lalu berkata, akibat penyakit yang dialaminya, beliau kini tidak boleh berdiri dan sukar bernafas.

"Saya terbuka memilih beliau (Nek Abd Rahman) sebagai penaung kerana tahu dia mampu menguruskan pertubuhan ini dengan sangat baik, di samping dibantu ahli dan jurulatih sedia ada,"katanya.

Teoh menceburi taekwondo sejak tahun 1962 dan mendalami ilmu mempertahankan diri itu daripada pengasas taekwondo dunia, Jeneral Choi Hong Hi sehingga tertubuhnya The Melaka Taekwondo Association.



Sumber 'Koboi Malaysia' dilantik penaung Ally's International Taekwondo

0 Response to "'Koboi Malaysia' dilantik penaung Ally's International Taekwondo"

Post a Comment