Mungkinkah Burnley aibkan lagi Liverpool?

KOLUM APA KATA EPL

Hujung minggu lalu penyokong Liverpool seantero dunia, termasuk di negara kita tidak lena tidur.

Tidak hanya dirundung kecewa dan hampa, malah tekanan turut menghantui mereka selepas teruk jadi bahan ejekan penyokong pasukan lain.

Situasi itu hadir gara-gara The Reds dibelasah 5-0 oleh Manchester City di Etihad dalam aksi keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Keputusan mengejutkan itu sememangnya tidak dijangka, tatkala Liverpool turut jadi pilihan menjuarai liga.

JUERGEN Klopp ketika perlawanan Liverpool menentang Sevilla FC di Anfield, Liverpool. - Foto EPA

Pun begitu, kejayaan mencatat keputusan 2-2 menentang Sevilla di laman sendiri pada saingan Liga Juara-Juara awal Khamis lalu, sedikit sebanyak dilihat dapat membantu mengendurkan sedikit tekanan dialami barisan Jurgen Klopp itu.

Meskipun bukan kebangkitan diimpi, sekurang-kurangnya The Reds tidak lagi dipersenda atau diragui penyokong atau pengurusan kelab Merseyside itu. Malam ini pastinya, barisan Liverpool kembali semula ke pentas EPL dengan sedikit kelegaan.

Persoalannya, mampukah Klopp mencari ramuan mujarab untuk melakukan kebangkitan apabila menyambut kunjungan Burnley - kelab yang kebetulan mengejutkan mereka 2-0 di Turf Moor, sebelum menang 2-1 di Anfiled selepas itu.

Sebelum berkunjung ke Anfield malam ini, skuad The Clarets sudah pun mengaibkan penyandang juara, Chelsea, 3-2 pada aksi pembukaan di Stamford Bridge untuk berada di tangga ketujuh liga hasil himpunan tujuh mata.

Penulis tidak meragui kemampuan Liverpool untuk mengecewakan Burnley malam ini, namun tidak juga menolak betapa pelawat itu mampu mengaibkan sekali lagi The Reds andai mereka tersilap langkah. Kita tunggu dan lihat.

KHIDMAT Philippe Coutinho diperlukan selepas tanpa kelibat Sadio Mane yang digantung tiga aksi. - Foto AFP

Apapun, Liverpool yang memenangi lima daripada enam pertemuan terakhir dengan The Clarets, bakal tampil tanpa kelibat Sadio Mane yang digantung tiga aksi sambil kemungkinan mendapat semula khidmat pemain Brazil, Philippe Coutinho.

Dalam pada itu, perlawanan tumpuan minggu ini pastinya terarah kepada perlawanan antara Chelsea menentang Arsenal di Stamford Bridge malam esok, waktu Malaysia yang pastinya bakal sengit dalam aksi `London derby'.

Ketika ini, The Blues yang mencatat kemenangan besar, 6-0 ke atas Qarabag FK pada saingan Liga Juara-Juara pada Selasa lalu, menduduki tangga ketiga liga dengan himpunan sembilan mata, manakala Arsenal, ke-11 dengan enam mata.

Minggu lalu, anak buah Antonio Conte menewaskan Liecester City 2-1, manakala Arsene Wenger hadir dengan kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth selain 3-1 ke atas Cologne FC pada saingan Liga Europa.

WAYNE Rooney. - Foto AFP

Melihat pada rekod pertemuan lalu antara kedua-dua pasukan, penulis menjangkakan Chelsea bakal memenangi aksi ini kecuali Wenger ada strategi lebih baik berbanding Conte.

Satu lagi pertemuan yang bakal mencuri perhatian adalah membabitkan pertemuan antara Manchester United dan Everton di Old Trafford, berikutan kembalinya legenda Red Devils, Wayne Rooney sebagai `musuh`. Selamat menonton.

Penulis Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Ramalan Minggu kelima

Bournemouth 2 Brighton 2

Crystal Palace 1 Southampton 2

Huddersfield 1 Leicester City 1

West Brom 1 West Ham 2

Liverpool 2 Burnley FC 2

Watford 0 Man City 4

Newcastle 2 Stoke City 2

Tottenham 3 Swansea City 0

Chelsea 3 Arsenal 1

Man United 2 Everton 0



Sumber Mungkinkah Burnley aibkan lagi Liverpool?

0 Response to "Mungkinkah Burnley aibkan lagi Liverpool?"

Post a Comment