Gagasan Malaysia bawa pembangunan, kemajuan

KOTA KINABALU: Gagasan Malaysia yang kini berusia 54 tahun telah berjaya membawa pembangunan dan kemajuan untuk negara dan rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata Malaysia adalah negara berdaya maju dan sejak awal penubuhannya, kerajaan melaksanakan pelbagai dasar dan program, termasuk Rancangan Malaysia, iaitu agenda pembangunan yang dikemas kini setiap lima tahun untuk memberi kesan efektif dan relevan terhadap pembangunan negara.

Musa menerusi perutusan Hari Malaysia berkata, kerajaan juga sentiasa mendengar dan merasai denyut nadi rakyat selaku 'stakeholders' dalam merancang dan melaksanakan program serta dasar pembangunan.

Dalam konteks Sabah, katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan memastikan hak dan kepentingan rakyat negeri ini terpelihara, menggunakan cara dan pendekatan tersendiri dalam isu dibangkitkan demi memastikan semangat sebenar pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dihayati setiap masa.

"Suka saya mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya atau terpengaruh dengan dakyah dan provokasi pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu berkaitan pembentukan Malaysia untuk kepentingan politik dan peribadi mereka.

"Justeru, kita perlu terus bersatu padu, bekerjasama, berganding bahu dan mengelak perpecahan serta perbalahan yang akhirnya merugikan negeri dan rakyat.

"Kejayaan cemerlang kita pada temasya Sukan SEA, baru-baru ini, jelas membuktikan bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bersatu hati atas nama bangsa Malaysia dalam memberi sokongan padu dan jitu kepada pasukan Malaysia.

"Inilah semangat jati diri yang perlu terus diperkukuhkan dalam hati sanubari kita," katanya.

Musa berkata, dalam konteks semangat perpaduan, Sabah adalah contoh terbaik semangat 1Malaysia apabila lebih 32 kumpulan suku kaum, agama dan budaya dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

"Kesatuan dan semangat kekitaan yang bertapak kukuh inilah menjadi antara tunjang kejayaan pembangunan dan kemajuan negeri selama ini serta dalam fasa seterusnya.

"Kita akan terus memperhebatkan usaha pembangunan berteraskan sektor hala tuju iaitu dalam bidang pertanian, pelancongan dan pembuatan, serta pembangunan modal insan.

"Pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Program Transformasi Ekonomi diterajui Kerajaan Persekutuan akan merancakkan lagi momentum pembangunan negeri.

"Usaha melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran, usahawan berjaya, generasi kreatif dan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga terus diberi tumpuan.

"Pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas untuk rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Antaranya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang rancak dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, antara kejayaan dan pencapaian lain adalah penurunan kadar kemiskinan ketara hasil kejayaan program pembasmian kemiskinan, serta pembinaan lebih banyak institusi pengajian tinggi dan pusat latihan serta kemahiran.

"Dalam aspek keselamatan, ia juga menjadi keutamaan kita, khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE).

"Menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan aset dan anggota yang lengkap, aspek keselamatan terus kita mantapkan bagi mempertahankan kedaulatan negara khususnya kawasan perairan kita," katanya.



Sumber Gagasan Malaysia bawa pembangunan, kemajuan

0 Response to "Gagasan Malaysia bawa pembangunan, kemajuan"

Post a Comment