23 wanita warga Vietnam diselamatkan

JOHOR BAHRU: Polis Johor menyelamatkan 23 wanita warga negara Vietnam yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam satu serbuan Ops Noda di dua pusat hiburan, di sini, awal pagi tadi. 

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu, polis menyelamatkan 23 wanita berusia antara 17 tahun dan 38 tahun yang disyaki dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 21 tahun dan 43 tahun yang mengaku bekerja sebagai pengurus premis. 

Katanya, 27 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 18 tahun dan 38 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.

"Pengurus premis ini diambil tindakan atas kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit kerja yang sah, menjalankan pusat hiburan tanpa lesen perniagaan sah dan akan di siasat di bawah Akta Imigresen serta Enakmen Hiburan Negeri Johor. 

"Selain itu, pengurus premis turut diambil tindakan atas kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang kerana mengeksploitasikan orang dan kanak-kanak untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Larian Harmoni dan Karnival 2017 di Pusat Bisnes Sutera Utama, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, turut diperiksa ialah pengunjung pusat hiburan iaitu seramai 108 dan 10 perempuan yang berusia antara 22 tahun dan 58 tahun. 

"Pihak Polis turut menahan seorang pelanggan warga negara Indonesia berusia 48 tahun yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

"Operasi membabitkan enam pegawai dan 25 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor," katanya sambil berkata Ops Noda bertujuan membanteras aktiviti yang tidak sihat dan tidak bermoral.



Sumber 23 wanita warga Vietnam diselamatkan

0 Response to "23 wanita warga Vietnam diselamatkan"

Post a Comment