Hatrik Shahrel Fikri benam FELDA United

MARAN: Hatrik kapten pasukan PKNP FC, Muhd Shahrel Fikri Md Fauzi memberikan bekalan selesa kepada skuad kendalian Abu Bakar Fadzim selepas menewaskan FELDA United 3-1 pada saingan suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini, sebentar tadi.

Muhd Shahrel menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama, iaitu pada minit ke-11 dan minit ke-45, hasil rembatan dari luar kotak penalti.

PENYERANG FELDA United, Thiago Augusto Fernandes (kiri) diasak PKNP FC, Ritus Krjauklis pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Skuad FELDA United kendalian B Sathianathan cuba bangkit dengan melakukan asakan sepanjang separuh masa pertama, namun gagal memecah kebuntuan.

Pertahanan FELDA United diketuai Mohd Shukor Adan juga tampak goyah dan gagal mengekang asakan PKNP FC yang diketuai Muhd Shahrel dan Gilberto Valdenesio Fortuno.

Bersambung babak kedua, percaturan Sathianathan memasukkan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi sedikit sebanyak menukar rentak permainan, namun terus buntu membolosi gawang PKNP FC yang dikawal Ahmad Asyraaf Omar.

Ketika sibuk cuba mencari gol, Muhd Shahrel sekali lagi menambah gol ketiga peribadinya dalam perlawanan itu pada minit ke-67.

DINO Djublic (kiri) dihalang pemain PKNP FC, Muhd Shahrel Fikri Md Fauzi pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Usaha FELDA United mencari gol akhirnya berhasil apabila Mohd Hadin Azman merapatkan jurang pada minit ke-76 hasil rembatan deras dari penjuru kanan gol PKNP FC.

Kedudukan FELDA United 1-3 PKNP FC kekal hingga tamat perlawanan dan meletakkan The Fighters berdepan tugas berat apabila bertandang ke Perak, minggu depan.



Sumber Hatrik Shahrel Fikri benam FELDA United

0 Response to "Hatrik Shahrel Fikri benam FELDA United"

Post a Comment