Dr Jamiyah jadi penasihat WHO, rangka polisi perancang keluarga

KUALA LUMPUR : Memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan hampir 30 tahun memberi peluang Prof Dr Jamiyah Hassan berbakti kepada masyarakat di dalam dan luar negara menerusi kepakaran dalam bidang terbabit.

Bertugas sebagai Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut memberi kelebihan beliau menjadi panel penasihat keluarga di peringkat antarabangsa.

Pencapaian peringkat global sebagai penasihat perancang keluarga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2012 itu menyuntik semangatnya mendidik masyarakat lebih serius terhadap penjagaan kesihatan.

Pada persidangan WHO di Zurich Switzerland, Dr Jamiyah berkongsi kepakaran mengenai amalan perancang keluarga yang sempurna.

Dr Jamiyah berkata, beliau berperanan sebagai penasihat mengenai isu berkaitan kerana ketika itu WHO mahu mengubah beberapa polisi mengenai perancang keluarga dengan meminta pandangan pakar dari Malaysia.

"WHO dari semasa ke semasa mengkaji semula polisi perancang keluarga untuk digunakan pakai mengikut kesesuaian di negara anggota berdasarkan keperluan semasa.

"Berdasarkan pemerhatian jumlah kelahiran di beberapa negara membangun termasuk Malaysia menurun sejak beberapa tahun lalu. Faktor ini disebabkan pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan, perkhidmatan dan pembuat dasar semakin meningkat," katanya kepada BH Online

Dr Jamiyah juga terbabit sebagai penasihat di Persidangan Antarabangsa Perancang Keluarga ke-2 berlangsung di Basel Switzerland pada 2015, selain memberi ceramah mengenai kepakaran dalam bidang perubatan.

Diberi mandat menganjurkan persidangan isu berkaitan peringkat Asia Pasifik, antaranya di Shanghai, Beijing, Seoul dan Singapura.

Tugas lain termasuk bertindak sebagai pengarah kursus dan penceramah peringkat domestik.

Mengulas mengenai tahap kesihatan di Malaysia, Dr Jamiyah berkata, beliau berperanan memberi kesedaran berkaitan aspek kesihatan secara menyeluruh belum mencapai ke tahap terbaik.

Sebagai contoh, masih ramai wanita di negara membangun seperti Malaysia kurang mengambil berat membuat pemeriksaan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Beliau mengurus program tahunan Baktisiswa bersama pelajar program pengajian perubatan, di Kampung Telaga Air Sarawak, baru-baru ini.

Program dijayakan 42 pelajar perubatan membantu meningkatkan kesedaran peserta mengenai penjagaan kesihatan masyarakat di situ.

Aktiviti itu memberi peluang beliau berhubung terus bersama masyarakat, selain melengkapkan ilmu pelajar di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FPUM).

Selain meningkatkan kemahiran insaniah pelajar, aktiviti ini melahirkan pegawai perubatan yang lebih berdaya saing.

"Saya terbabit menjayakan program saingan kesihatan di kawasan kejiranan di Kota Damansara, Petaling Jaya.

"Populasi kejiranan di sini pelbagai latar belakang dan taraf hidup, justeru kita utamakan program kesedaran penjagaan kesihatan ,"

katanya.

Masyarakat perlu didedahkan dengan pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam 30 minit tiga kali seminggu.

Begitu juga dengan proses penjagaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan begitu penting kerana statistik kematian ibu selepas bersalin dijadikan penanda aras pada taraf kesihatan masyarakat secara umumnya.

Diharapkan menerusi program itu ia membantu menurunkan statistik iaitu 26 kematian pada setiap 100,000 kelahiran di negara ini berbanding negara maju nisbah 10:100,000 setiap kelahiran.

Profil

Prof Dr Jamiyah Hassan

Asal: Melaka

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM)

* Ijazah Sarjana Perbidanan dan Sakit Puan

* Hadiah Latihan Petronas Felo Fetomatenal, di Queen Charlotte's Hospital, London (1994-1997)

* Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ipoh Kuala Lumpur

Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ipoh Kuala Lumpur

Anugerah:

* Pingat Emas Wanita UMNO 1985 (Pelajar Melayu Bidang Perubatan Terbaik, UM)

* Pakar Perubatan Klinikal Terbaik UM 2014

* Ahli Jawatankuasa Lembaga Kelayakan Perubatan Malaysia

* Pencapaian cemerlang program perancang keluarga dari International Federation of Gynaecology and Obstetrics, Geneva Switzerland, 2006



Sumber Dr Jamiyah jadi penasihat WHO, rangka polisi perancang keluarga

0 Response to "Dr Jamiyah jadi penasihat WHO, rangka polisi perancang keluarga"

Post a Comment