UTM Hasilkan Kapsul Atasi Virus Zika, Denggi

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penyelidik Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan kapsul anti-denggi diperbuat daripada ekstrak daun betik dan minyak kelapa dara yang berpotensi mengatasi jangkitan virus Zika.
Penyelidikan selama lima tahun itu diyakini selamat digunakan untuk semua peringkat umur termasuk wanita mengandung, selain boleh digunakan bagi mengelak jangkitan denggi.
Ketua Penyelidik, Dr Harisun Yaakob, berkata produk itu menggunakan dua herba terpilih dan menjadikan minyak kelapa dara yang dikesan mempunyai fungsi terbaik sebagai ejen pembawa.
Katanya, produk dikenali sebagai Anti D'ngue itu sudah menjalankan pelbagai uji kaji makmal termasuk ke atas pesakit denggi bagi memastikan keberkesanannya.
"Produk ini digunakan sebagai makanan tambahan sebelum serangan denggi, ketika jangkitan denggi dan selepas pulih.
"Kajian mendapati campuran ekstrak daun betik dan beberapa herba dengan menggunakan campuran minyak kelapa dara dapat merencatkan pertumbuhan dan indikasi virus denggi.
"Produk lain ialah formulasi yang hanya berasaskan daun betik manakala Anti D'ngue menggunakan beberapa herba lain menjadikan kesan lebih tinggi, selain kita guna teknologi nano untuk meningkatkan keberkesanannya," katanya.
Dr Harisun berkata, produk ini berpotensi mengelak virus Zika kerana virus itu juga berasal daripada punca nyamuk.

0 Response to "UTM Hasilkan Kapsul Atasi Virus Zika, Denggi"

Post a Comment