BENTONG: “Saya tidak tahu apa yang berlaku dan mengapa saya ditahan di wad ini,” kata Mohd Azuan Mohammad Nur, 30, yang dirawat di Hospital Bentong sejurus selepas kenderaan Perodua Alza dipandunya terbabas merempuh bas ekpres di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub berhampiran Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion 25 di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, ibunya, Siti Hawa Razak, 57, maut di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kereta manakala bapanya, Mohammad Nur Said, 69, meninggal di hospital akibat parah.
Difahamkan, Mohd Azuan sekeluarga dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur ketika nahas berlaku.
Bagaimanapun Mohd Azuan terselamat walaupun ditemui tersepit dan patah kaki kiri.
Ketika ditemui jam 2 pagi semalam, dia belum mengetahui nasib menimpa ibu dan bapanya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohammad Mansor Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku selepas kenderaan dinaiki tiga beranak itu terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas ekpres.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kenderaan Alza itu maut manakala seorang lagi parah.
“Pemeriksaan mendapati banyak barangan bayi di dalam kenderaan itu, tetapi siasatan mendapati tiada bayi di dalamnya.
“Hanya tiga mangsa di dalam kenderaan terbabit yang berasal dari Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan. Pemandu bas ekpres bersama 11 penumpang bagaimanapun tidak cedera,” katanya.
Menurut Mansor, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 Response to "Tak Tahu Kenapa Masuk Wad"
Post a Comment