Warga Asing 'Tauke' Gerai Downtown Cheras

KUALA LUMPUR: Bazaria Larut Malam di Cheras atau lebih dikenali Downtown Cheras begitu sinonim dengan penjaja-penjaja Melayu yang mula bertapak sejak sembilan tahun lalu.
Arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tapak perniagaan itu dikosongkan sejak tahun lalu memberi tamparan hebat buat peniaga-peniaga yang sudah menjadikan operasi peniagaan di situ sebagai periuk nasi utama mereka.
Bagaimanapun, atas budi bicara dan kerjasama DBKL dan pemilik tanah, aktiviti perniagaan di situ dilanjutkan bagi tempoh enam bulan namun bergantung kepada keperluan semasa perkembangan projek atas tapak berkenaan.
Sedikit sebanyak ia memberi kelegaan buat peniaga Melayu di situ, namun aktiviti jualan di situ dilihat seperti ada yang tidak kena.
Mana tidaknya, sebelum ini arahan pengosongan tapak dibantah atas nama penjaja Melayu, sedangkan ketika tinjauan Sinar Harian semalam mendapati wajah-wajah asing seperti menguasai aktiviti peniagaan di situ walaupun jelas warga asing adalah tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penjajaan waima sebagai pembantu gerai.
Makin ramai
Situasi itu diakui seorang peniaga Zainal Abidin Zakaria, 23, yang mendakwa ia adalah suasana biasa di situ.
Dakwanya, kehadiran penjaja warga asing itu juga adalah atas kebenaran dan lesen daripada penganjur, namun kebanyakannya adalah pekerja.
“Pada awal pembukaan Downtown ini, kehadiran mereka tidak begitu ketara sangat, tapi sekarang ini dilihat semakin ramai pula,” katanya.
Bagi seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Aminah, 32, berkata, situasi itu seolah-olah mengambil kesempatan atas arahan pengosongan tapak penjajaan itu
“Mungkin ada pihak yang mengambil keuntungan atas angin dengan menyewakan gerai kepada warga asing kerana tahu aktiviti jualan di sini sudah tidak lama lagi,” katanya.
Dalam perhatian DBKL
Penganjur yang dilantik dalam menguruskan Downtown Cheras berdepan tindakan pembatalan permit penganjuran sekiranya didapati melanggar peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata, tindakan itu dalam perhatian DBKL sejak awal tahun lalu termasuk peniaga yang menggunakan khidmat warga asing.
Tegasnya, meskipun bazar berkenaan akan ditutup, mereka tidak sewajarnya mengambil kesempatan menempatkan warga asing sebagai peniaga di tapak berkenaan.
“Saya akui perkara ini dalam pemantauan dan pengawalan DBKL, malah kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan melanggar peraturan termasuk penganjur bazaria.
“Sekiranya mereka tidak mampu menguruskan bazar ini, DBKL akan menguruskan sendiri bagi memastikan masalah ini tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohd Sauffi berkata, aktiviti penjajaan oleh warga asing di situ sedang dipantau pihaknya dan sebelum ini beberapa siri pemeriksaan telah digerakkan.
Bagaimanapun menurutnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan mengumpul lebih banyak maklumat berkaitan.
“Secara dasarnya, DBKL tidak pernah membenarkan penglibatan warga asing dalam aktiviti penjajaan ini tidak kira sebagai pengusaha atau pembantu.
“Walaupun bazaria ini akan ditutup, tidak bermakna mereka (peniaga) boleh lakukan sesuka hati semata-mata untuk mendapatkan keuntungan mudah,” katanya.

0 Response to "Warga Asing 'Tauke' Gerai Downtown Cheras"

Post a Comment