Aktres Nabila Huda, 31, mengakui bahwa dia telah mengubah cara hidup dan rutinnya demi menikmati keseronokan dan kebahagian bersama suami tercinta, Mohd Izwan Johar serta anak kesayangannya, Keisha Laila.
Nabila atau lebih mesra dengan panggilan Abil berkata, jika selama ini dia sentiasa sibuk dengan kerja dan banyak bertumpu di set penggambaran. Namun sejak dua tahun lalu dia mula mengurangkan kesibukan kerja dan merancang setiap apa yang ingin dilakukan.
Tambahan setelah kembali bergelar isteri kira-kita dua bulan lalu, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.
"Berbelas tahun saya kehilangan nikmat kehidupan seperti orang lain yang mempunyai masa bersama keluarga, dapat makan bersama-sama. Selama ini saya sangat sibuk dengan kerja atau di set penggambaran. Sehingga kan hendak menjejakkan kaki ke pusat membeli belah pun saya tiada masa melainkan saya ke tempat tersebut kerana bekerja.
"Tetapi sejak dua tahun lepas saya mula sedar dan saya telah ubah cara hidup saya. Saya sudah kurangkan kerja saya dan merancang setiap apa yang saya mahu lakukan. Saya sekarang lebih kejarkan nikmat dan kebahagiaan hidup.
"Sudah tiba masanya saya bergelak ketawa bersama keluarga, buat apa yang saya suka seperti melancong. Jika tidak bekerja saya lebih suka duduk di rumah. Saya jarang ke acara-acara hiburan kecuali jika acara berkenaanmelibatkan saya atau saya mendapat undangan daripada teman-teman rapat.
"Walaupun begitu, saya tetap teruskan kerjaya lakonan saya cuma sekarang saya lebih suka buat dan cuba benda-benda baru yang belum lagi saya lakukan," katanya kepada Malaysia Digest ketika berkongsi mengenai kehidupan terkininya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Munafik, bertempat di GSC One Utama, pada Khamis.
Dalam pada itu, Nabila berkata dia mengganggap perkahwinan kali keduanya ini sebagai perkahwinan kali pertama sekaligus menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran dan mematangkan dirinya.
"Saya anggap ini adalah perkahwinan pertama saya. Perkahwian dahulu ketika usia saya masih muda. Saya tidak dapat menikmati sepenuhnya keadaan yang sebenar berumah tangga. Tetapi saya bersyukur dikurniakan cahaya mata yang sangat comel dan buat saya sedar juga banyak mengajar saya dalam menghadapi dan melalui pelbagai liku-liku kehiupaan
"Alhamdulillah, sekarang kami sudah ada penyeri. Keisha pun sayang sangat pada suami saya, sampaikan bukan macam ayah tapi macam teman lelaki dia pula," seloroh Nabila mengenangkan gelagat anak tunggalnya itu.
Menyorok Dalam Peti Mayat
Sementara itu, Nabila bakal muncul menerusi filem terbaharu Munafik yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 25 Februari ini. Dalam filem arahan Syamsul Yusof itu, Nabila melakonkan watak sebagai Maria.
Filem terbitan Skop Production Sdn Bhd itu juga turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali, Sabrina Ali, Fizz Fairuz dan ramai lagi.
Jarang diberi peluang menjayakan filem seram justeru karakter yang dijiwainya kali ini dianggap sebagai watak paling berat dan mencabar yang pernah dibawakan dalam melakonkan filem bergenre seram.
"Saya jarang dapat berlakon filem seram tetapi watak kali ni memang berat, penat dan susah untuk melakonkannya terutama babak histeria. Saya juga ada melakukan beberapa stunt sendiri. Saya hanya mengikut dan cuba memenuhi kehendak Syamsul. Dia akan terangkan pada saya apa yang dia mahu kemudian saya akan buat mengikut keselesaan dengan kreativiti saya.
"Diakui apabila 'shoot' filem seram, memang kita rasa seram misalnya babak saya masuk dalam peti mayat. Sebenarnya itu merupakan kali ketiga saya masuk ke dalam peti mayat kerana sebelum ini saya pernah lakonkan dalam cerita lain.
"Tapi kali ini pengalamannya memang berbeza tapi saya cuba sedaya upaya berikan lakonan yang terbaik. Syukur secara peribadi, sepanjang penggambaran filem ini saya tidak mengalami apa-apa pengalaman pelik.
"Saya gembira apabila pengarah saya gembira dan berpuas hati dengan lakonan saya. Sebenarnya bila menonton semula filem ini, saya pun tak percaya yang saya boleh berikan lakonan yang sebegitu," tuturnya.
Selain, Nabila juga sedang menjalani penggambaran telemovie arahan sulung Sharnaaz Ahmad berjudul Lukisan Cinta.
0 Response to "Nabila Huda Ubah Gaya Hidup, Tebus 'Kehilangan'"
Post a Comment