HUTAN MELINTANG: Hampir lima tahun berdepan masalah sistem kumbahan kurang sistematik, kali ini lebih teruk apabila limpahan najis yang memenuhi mangkuk tandas mengambil masa lama untuk surut.
Itu masalah dihadapi penghuni di 28 unit rumah Lorong 6 dan 7 Taman Perumahan Awam 3, Simpang 4, apabila saluran kumbahan di belakang rumah tersumbat.
Penduduk, Ahmad Anuar Shaarani, 49, mendakwa, saluran kumbahan berkenaan tidak diselenggarakan oleh pihak bertanggungjawab.
“Taman ini sudah hampir 20 tahun dibina dan kami tidak menyangka masalah berkenaan boleh berlaku dan terpaksa menghidu bau najis setiap hari,” katanya.
Katanya, diharap mana-mana pihak terlibat tampil membantu penduduk taman itu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kalau tak dapat dibina saluran kumbahan baharu pun tidak mengapa, asalkan saluran sedia ada di selenggara supaya ia boleh mengalir tanpa tersumbat,” katanya.
Air kumbahan lambat surut
Lebih parah, ada penduduk yang terpaksa menunggu lama untuk air kumbahan dari mangkuk tandas surut sepenuhnya.
Pesara kerajaan, Zainab Mohamad, 65, berkata, dia sudah tidak tahan dengan masalah air kumbahan melimpah keluar dari mangkuk tandas.
“Kami sekeluarga jadi takut untuk membuang air besar kerana apabila digunakan, air akan memenuhi mangkuk tandas bersama najis.
“Kadang-kadang satu hari pun belum tentu surut. Apa yang paling saya takuti adalah kemungkinan air kumbahan mengalir keluar daripada mangkuk tandas dan memenuhi bilik air.
“Ini sudah berlaku di beberapa rumah di taman ini,” katanya.
Guna tandas stesen minyak
Seorang lagi penduduk, Mohd Jaafar Khair, 66, berkata, air dari mangkuk tandas rumahnya akan mengambil masa hingga 10 minit untuk surut setiap kali digunakan.
“Masalah ini perlu diselesaikan, saya mohon pihak berkenaan melihat perkara ini secara serius kerana saya sudah menetap di sini sejak perumahan ini dibuka lagi.
“Ia soal kebersihan dan kami terpaksa menanggung bau busuk serta melihat najis terapung di dalam mangkuk tandas,” katanya.
Bagi Nor Azizah Sharani, dia bersama keluarga terpaksa menggunakan tandas di stesen minyak berhampiran bagi membuang air besar.
“Ini kerana apabila flush, air akan memenuhi mangkuk tandas dan akan surut dalam masa satu hari, jadi mahu atau tidak kami perlu ke tandas stesen minyak.
“Ada masa apabila tandas digunakan air kumbahan akan melimpah dari mangkuk tandas bersama najis dan bau busuk memenuhi rumah,” katanya.
Katanya, dia berharap pihak terlibat memandang serius masalah ini dan segera selesaikannya dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Adun Hutan Melintang, S Kesavan berkata, setakat ini tiada aduan daripada pengadu mengenai masalah yang dihadapi mereka.
“Tetapi tahun lalu saya ada menerima aduan daripada keluarga yang tinggal di taman sama mengenai masalah saluran kumbahan tersumbat dan saya sudah mengemukakan aduan kepada Indah Water.
“Mereka (Indah Water) ada datang melihat situasi berkenaan dan memberitahu bahawa taman tersebut bukan lagi di bawah selenggaraan mereka untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau meminta penduduk yang menghadapi masalah berkenaan datang ke pusat khidmat bagi membincangkan penyelesaian bersama.
“Kita akan bawa perkara ini dalam sidang Dun April akan datang,” katanya.
0 Response to "Lima Tahun Hidu Bau Najis"
Post a Comment