3 CARA ‘UPGRADE’ BISNES MENGGUNAKAN INSTAGRAM

Penulis: Nadia Nazri

Evolusi bisnes berkembang dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan sosio budaya dan juga kepesatan teknologi. Mendepani generasi milenia sebagai pembeli yang akan mendominasi pasaran dan kuasa ekonomi pada masa hadapan, kemahiran menggunakan media sosial adalah satu perkara yang wajib bagi anda orang bisnes walaupun anda bukan daripada gen Y dan gen Z. Tanpa kemahiran ini, anda akan ketinggalan kebelakang berbanding usahawan lain.

Anda kena faham, dengan kuasa media sosial sekarang, cara pembeli membuat keputusan untuk membeli atau menggunakan servis anda bukan lagi sepenuhnya kerana kualiti produk atau servis yang anda tawarkan akan tetapi berdasarkan review dan kuasa ‘viral’. Jika anda pengusaha restoran contohnya, hatta makanan anda tidak sedap sekalipun, mungkin kedai anda akan penuh setiap hari dengan pelanggan yang ingin mencuba makanan anda buat kali pertama dek kerana kuasa ‘viral‘.

Berikut adalah tip-tip untuk anda memaksimakan penggunaan Instagram anda bukan hanya untuk tujuan peribadi atau bersosial akan tetapi untuk mengembangkan bisnes.

#1- Fahami Konsep Jenis-Jenis ‘Review’ Dan Fungsinya Dalam Bisnes Anda

Paid Review’ selalunya dilakukan oleh pemilik akaun yang mempunyai bilangan ‘followers’ yang ramai. Oleh kerana pendapatan daripada ‘paid review’ ini lumayan, maka tidak hairanlah jika ramai orang sibuk memikirkan cara untuk meningkatkan ‘follower’ masing-masing. Kylie Jenner, artis Hollywood yang terkenal baru sahaja diumumkan sebagai bilionair termuda dunia dek kerana penangan mempunyai pengikut Instagram yang ramai. Golongan yang berpengaruh dalam Instagram digelar Instafamous.

Makanya, ada pelbagai cara untuk anda gunakan ‘paid review’ untuk memajukan bisnes anda. Jika anda sudah mempunyai follower di Instagram, anda boleh fokus untuk meningkatkan follower Instagram untuk bisnes anda dengan mengekalkan konsistensi ‘posting’ secara berkala. Rajinkan untuk berkongsi apa sahaja yang boleh menarik minat orang untuk mengikuti Instagram anda. Anda boleh berkongsi berkenaan kemahiran anda, ulasan mengenai isu semasa dan sebagainya. Namun jika anda baru nak bermula dan anda dapati kurang mahir menggunakan Instagram atau mengumpan follower untuk mengikuti anda, anda boleh melaburkan sejumlah wang kepada instafamous untuk mempromosikan produk atau servis anda dan sudah tentu, jangan lupa promosikan Instagram anda juga, ini akan membantu untuk mendapatkan followers sebagai permulaan. Selain itu, jika mahu mempercepatkan proses untuk mendapatkan followers, kaedah terakhir yang anda boleh lakukan adalah membeli akaun Instagram yang lama dengan jumlah followers yang anda inginkan kemudian tukarkan sahaja menjadi akaun anda. Namun, jangan berasa selesa dengan jumlah followers yang banyak dalam sekelip mata, anda harus berusaha untuk muat naik post yang menarik untuk santapan mereka. Pastikan anda kekal aktif bukan pasif kerana jika tidak anda akan kehilangan ‘followers’ dalam sekelip mata juga.

Selain itu, sama seperti ramai usahawan lain lakukan di Facebook, anda juga boleh buat review sendiri mengenai produk anda secara live di Instagram dan kemudian jadikan ianya sebagai pertandingan online atau ‘lucky draw’ atau ‘giveaway’. Pilih satu produk setiap minggu, tetapkan hari dan masa yang sama setiap minggu untuk buat ‘review’ kemudian akhiri dengan memberikan produk tersebut kepada salah seorang viewer akan membuatkan mereka mahu melihat review anda setiap minggu secara konsisten kerana mahu menjadi insan terpilih. Secara tidak langsung, anda akan membentuk tabiat baru bagi followers Instagram anda untuk melihat anda dan promosi produk anda setiap minggu. Jangan lupa minta followers terpilih yang mendapat produk anda untuk membuat testimoni video setelah menggunakan produk anda secara percuma. Kesannya, anda pasti dapat lihat perubahan yang ketara dengan kadar jualan anda kerana pembeli lebih mempercayai pembeli lain yang menggunakan produk anda secara berkesan berbanding penjual atau ‘promoter’.

Anda juga boleh melakukan ‘swap review’ seperti kebanyakkan usahawan lain yang sudah berjaya. Sebagai usahawan, sudah pasti anda mempunyai rangkaian kenalan usahawan lain yang menjual pelbagai jenis produk atau servis yang berlainan. Jadi, anda boleh bertukar review dengan mereka secara percuma. Ibarat menggabungkan bisnes atau bekerjasama dalam urusan bisnes yang berlainan. Jika anda membuka restoran contohnya, anda boleh promosikan produk makanan usahawan lain seperti satar atau sate sejuk beku, sambal goreng dan sebagainya dan usahawan-usahawan ini pula, melalui akaun Instagram mereka akan mempromosikan restoran anda kepada ‘ followers’ mereka pula.

Malah anda boleh berbincang dan menyediakan pakej kombo misalnya, cuci kereta di kedai anda dan pelanggan akan mendapat diskaun 30% untuk membeli nasi kusus di sebelah kedai anda semasa waktu rehat tengahari. Pastikan ‘followers’ Instagram kedua-dua pemilik bisnes adalah lebih kurang sama untuk mendapat pulangan hasil yang sama. Jangan lupa untuk menggunakan Instagram untuk mempromosi segala bentuk tawaran anda bersama-sama semaksimum yang mungkin.

#2-Jadi Usahawan Yang ‘Mesra Alam’

Jangan anggap tanggungjawab anda sudah selesai apabila anda sudah memiliki akaun Instagram yang aktif, banyak ‘followers’ dan sentiasa muat naik ‘post’. Pernah dengar ungkapan, “What you give is what you will get back” Tidak kisahlah perkara baik atau buruk, akan tetapi dunia yang berbentuk bulat ini sentiasa berputar dan kembali ke tempat yang sama. Jadi, konsep yang anda perlu fahami, jika anda inginkan ‘followers’ sentiasa mengikuti anda, ‘like’ posting anda, dan sentiasa aktif di ruangan Instagram tanda, anda juga harus siap sedia melakukan perkara yang sama.

Rajin-rajinlah menjawab pertanyaan mereka, melayan mereka, melihat ‘posting’ mereka dan ‘follow’ kembali jika anda rasa mereka mempunyai potensi untuk menjadi pembeli atau ‘networking’ anda dalam bisnes. Lumrah manusia untuk melayan anda sama seperti anda melayan mereka. Jika anda sendiri tidak sanggup lakukan semua ini, sama ada upah pekerja untuk uruskan perkara ini bagi pihak anda atau bunuh sahaja jangkaan yang anda akan maju dalam bisnes menggunakan Instagram kerana ia tidak akan terjadi. Layanan anda kepada ‘followers’ berfungsi sebagai kaunter perkhidmatan pelanggan, hatta anda sendiri sekalipun tidak suka jika menerima layanan yang teruk daripada staf terutamanya pegawai khidmat pelanggan. Faham?

#3- Jadi Pakar Instagram Dengan Mengikuti ‘Trend’

Sama ada anda sudah terbiasa dengan Instagram mahupun tidak, anda harus sentiasa belajar dari semasa ke semasa. Berikut adalah perkara asas yang anda harus pelajari dan mahirkan diri untuk mencetus minat pembeli atau prospek untuk jadi ‘followers’ anda. Antaranya adalah, anda kena memastikan profile Instagram anda sentiasa menarik, sama ada anda mempunyai minat yang mendalam ataupun tidak, anda harus sentiasa menukar gambar profile anda dan ‘update’ status anda dari semasa ke semasa.

Rajin-rajinlah mengambil gambar dan jika anda kurang mahir mengambil gambar, sama ada anda meminta pekerja yang mahir untuk melakukannya atau anda harus belajar bagaimana untuk mengambil gambar yang cantik. Dengan bantuan telefon pintar yang berteknologi tinggi, seharusnya, mengambil gambar bukanlah satu tugas yang sukar. Anda harus faham yang gen Milenia adalah generasi yang suka akan visual, dan Instagram menjadi kegilaan mereka kerana hanya kerana keinginan untuk melihat gambar yang cantik meskipun gambar tersebut tidak berkaitan dengan mereka. Golongan ini boleh menghabiskan masa berjam-jam untuk melihat ratusan gambar akan tetapi kurang gemar untuk membaca. Jadi, gunakan ‘caption’ yang ringkas untuk menjelaskan situasi atau penerangan produk atau gambar anda. Jangan buatkan mereka bosan dengan esei yang berjela-jela kerana fahamilah, mereka generasi yang kurang berminat untuk membaca berbanding generasi terdahulu. Gunakan juga ‘hashtag’ yang ringkas dan boleh diingati. Ini akan bantu mereka mengingati ‘posting’ anda atau mengenali jenama anda.

Sebagai tip yang terakhir, jangan terlalu fokus untuk muat naik ‘posting’ yang hanya berkaitan dengan bisnes anda sahaja. Selang-selikan dengan video atau post lain seperti ilmu pengetahuan, motivasi atau hiburan untuk elakkan mereka berasa bosan dan buatkan mereka terhibur seketika. Selamat mencuba!

Sumber rujukan:



Sumber 3 CARA ‘UPGRADE’ BISNES MENGGUNAKAN INSTAGRAM

0 Response to "3 CARA ‘UPGRADE’ BISNES MENGGUNAKAN INSTAGRAM"

Post a Comment