Kesiannya... Limpa Pecah Sebab Kena Dera Oleh Bapa Tiri Jadi Punca Budak Lima Tahun Meninggal..



Mohamad Zazali Abdullah sedih kematian anak saudara, Muhammad Hafiz Abdullah, 5 tahun (gambar kecil).

Kecederaan berganda di kepala dan keadaan limpa yang pecah menjadi punca kematian kanak-kanak lelaki lima tahun mangsa dera, yang dipercayai dilakukan oleh bapa tiri dan ibu kandungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan, berkata keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.

“Jenazah mangsa telah diserahkan kepada anggota keluarga terdekat yang lain pada pukul 4.15 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Rompin,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media di sini, malam ini.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, mangsa Muhammad Hafiz Abdullah, 5, meninggal dunia ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan, dipercayai menjadi mangsa dera bapa tiri dan ibunya.

Osman dalam kenyataan sebelum ini berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan cedera disyaki akibat penderaan iaitu kesan lebam baharu di dada, kesan cucuhan api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam sebelah mata kanan serta luka-luka kecil baharu di bahagian kening kanan.

Hasil siasatan awal yang dilakukan, bapa tiri mangsa yang tinggal di Kampung Batu Balik, Pekan dan seorang penoreh getah, mengaku ada memukul kanak-kanak itu pada hari kejadian.

Berikutan itu, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang mati dipercayai didera, berasa terkilan kerana tidak sempat bertemu dan mengambil anak saudaranya itu semalam di rumah kanak-kanak itu di Kampung Batu Balik, Pekan kerana mempunyai urusan lain.

Mohamad Zazali Abdullah, 23, berkata dia memang rapat dengan kanak-kanak itu kerana sebelum kakaknya yang juga ibu mangsa, 25, berkahwin dengan bapa tiri mangsa, 54, dua beranak itu tinggal bersama keluarganya di Felda Chini.

“Saya tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan seperti itu (dera) terhadap mangsa. Biasanya, kalau dia (suspek) bercakap… boleh kalah ustaz, baik sangat dan saya tidak nampak yang dia boleh melakukan perbuatan seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Katanya, suspek sebelum ini bekerja di ladang milik kerajaan negeri Pahang di Muadzam Shah, Rompin dan berpindah ke Kampung Batu Balik, selepas berkahwin dengan ibu mangsa kira-kira lima tahun lepas.

Jenazah kanak-kanak mangsa dera itu dituntut keluarga jam 4.10 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Batu, Nenasi, petang ini juga. – Bernama

Sumber Kesiannya... Limpa Pecah Sebab Kena Dera Oleh Bapa Tiri Jadi Punca Budak Lima Tahun Meninggal..

0 Response to "Kesiannya... Limpa Pecah Sebab Kena Dera Oleh Bapa Tiri Jadi Punca Budak Lima Tahun Meninggal.."

Post a Comment