Tertekan selepas dedah jalani rawatan kesuburan

PELAKON dan pengacara, Yana Samsudin mengakui agak tertekan pada awalnya selepas dia mendedahkan pernah menjalani rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) dalam usaha untuk menimang cahaya mata kedua.

Menurut selebriti berusia 34 tahun ini, dia tidak menyangka perkara itu sensitif untuk dikongsikan dan segelintir netizen pula melabelkan dia terburu-buru untuk menambah cahaya mata, sementelah anaknya, Aisy Mateen belum menginjak usia dua tahun.

"Pada awalnya memang saya agak bimbang untuk berkongsi perkara tersebut tapi pengurus saya cakap, mana tahu kalau saya kongsi, orang lain akan doakan saya cepat dapat anak.

"Jadi saya kira ia sebagai salah satu ikthiar saya untuk mendapatkan cahaya mata, mungkin ada antara doa yang dikirimkan makbul.

"Orang lihat anak saya masih kecil dan saya masih muda, tapi hakikatnya usia kita makin meningkat dan doktor sendiri beritahu saya boleh kembali mengandung selepas Mateen berusia setahun.

"Kalau diizinkan ALLAH SWT, saya mahu empat orang anak sebelum berusia 40 tahun. Kita sedia maklum bahawa bila kita mengandung pada usia yang lewat, banyak komplikasi yang datang," ujarnya ketika ditemui pada pada majlis sidang media Mood Republik KL Raya Fest 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi festival itu, Yana akan buka gerai jualan biskut dan hijab yang berlangsung dari 8 hingga 11 Jun ini, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambah pemilik nama sebenar Norliana Samsudin ini, dia bagaimanapun berfikir secara positif dan enggan mengambil hati dengan apa yang diperkatakan oleh netizen.

Jelasnya, dia pernah membaca satu artikel psikologi tentang pembesaran anak-anak dalam satu fasa yang sama.

"Saya pernah baca satu artikel di mana  anak-anak berusia empat tahun ke bawah mempunyai perkembangan fasa yang sama. Di mana kalau kita tak cukup tidur pun, ia hanya berlaku sehingga mereka berusia empat tahun

"Sebab itu kalau boleh jarak usia anak kedua dengan Mateen tidak jauh berbeza.

“Kita sebagai wanita bekerjaya kena rancang semua itu. Sebenarnya anak-anak yang lahir rapat ini lagi senang nak jaga,” jelasnya.

Sebelum ini, anak kelahiran Yong Peng, Johor ini mendedahkan dia sudah tiga kali membuat rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota sekitar November hingga Mac dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun sesetengah netizen mengecam tindakan Yana dan menyifatkan pelakon drama Qanun 99 ini terburu-buru.

Yana berkahwin dengan pengurusnya, Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Aisy Mateen.



Sumber Tertekan selepas dedah jalani rawatan kesuburan

0 Response to "Tertekan selepas dedah jalani rawatan kesuburan"

Post a Comment