Pilihan terbaik ‘Hebatkan Negaraku’ — Najib Razak

7 MEI — Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, pada 9 Mei ini kita akan mengundi dalam pilihan raya umum ke-14. Kita seharusnya berbangga dengan tradisi demokrasi kita yang kukuh, yang mempunyai sejarah yang panjang dan melangkaui mana-mana negara pun dalam rantau ini. Hak untuk memilih kerajaan yang kita mahu adalah tunjang kepada demokrasi yang kita amalkan, dan Barisan Nasional akan sentiasa mempertahankan hak itu.

2. Namun begitu, saya sedih kerana pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan yang tidak menyenangkan.

3. Sejak pilihan raya terakhir pada 2013, pihak pembangkang bersungguh-sungguh ingin menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi, mengabaikan pilihan rakyat yang diterjemahkan melalui peti undi, dan tidak membenarkan kita mentadbir secara aman dalam tempoh yang dimandatkan. Sekiranya pembangkang berniat untuk merampas kuasa dengan cara yang tidak demokratik, mereka tidak akan mentadbir secara demokratik.

4. Lagi pun, untuk membuat pilihan yang tepat, pengundi haruslah tahu apa yang benar. Namun, pembangkang yang ditunjangi DAP telah melakukan pelbagai perkara untuk mengaburkan fakta melalui tsunami fitnah mereka. Penipuan demi penipuan mereka semakin keterlaluan sehinggakan media Barat mulai sedar helah mereka. Sebuah penerbitan antarabangsa telah menulis minggu ini bahawa ucapan-ucapan Dr Mahathir “kurang mengandungi intipati berkenaan dasar tapi dipenuhi fitnah yang maksimum.” Itu adalah satu kecaman yang beliau tidak boleh sangkal, kerana ia benar sama sekali.

5. Saya amat berbesar hati dapat berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia sejak 2009, dan saya amat berbangga dengan segala pencapaian yang telah kita kecapi bersama.

6. Penciptaan 2.7 juta pekerjaan baharu. Pertumbuhan purata 5.4 peratus sejak 2010, yang mana pencapaian ini hanya boleh diimpikan oleh ekonomi-ekonomi terbesar dunia. Pendapatan Negara Kasar meningkat lebih 50 peratus, yang mana ini mewakili pertumbuhan besar dalam kekayaan negara, dan menjelaskan kenapa Tabung Kewangan Antarabangsa memuji kita kerana berada pada landasan yang tepat ke arah status negara berpendapatan tinggi.

7. Ini semua adalah kejayaan setiap rakyat Malaysia, dan jangan biarkan sesiapa pun memberitahu anda sebaliknya. Jangan biarkan pembangkang memperkecilkan pencapaian-pencapaian ini dengan mengatakan ia tidak wujud, atau pun sesuka hati mendakwa bahawa negara kita berada di ambang kebankrapan. Mereka mengkritik sekadar untuk mengkritik, dan tidak menawarkan apa-apa yang membawa kebaikan. Lebih teruk lagi, mereka menabur janji-janji palsu yang mereka sendiri tahu tidak boleh ditunaikan. Sebagai contoh; mereka mendakwa bahawa mereka akan menghapuskan GST namun mereka tidak pula mencadangkan bagaimana untuk menggantikan RM43 bilion yang dikutip tahun lepas.

8. Memperkenalkan GST adalah salah satu keputusan yang paling sukar buat diri saya. Saya sedar ia akan mengakibatkan sedikit kenaikan dalam harga beberapa barangan dan perkhidmatan, dan ini akan membebankan sebahagian rakyat Malaysia. Namun, saya juga sedar bahawa tanpa GST, ekonomi kita akan terus menerus terlalu bergantung kepada harga minyak. Ini adalah sesuatu yang berada di luar kawalan kita dan sebarang penurunan dalam harga minyak dalam pasaran dunia akan mengakibatkan kita terdedah kepada bahaya, sebagaimana yang kita alami beberapa tahun lepas. Walau bagaimanapun GST telah membuatkan kita stabil dan berdikari secara fiskal. Dan walaupun wujud sedikit keperitan jangka pendek, saya beri jaminan bahawa manfaat yang kita terima adalah untuk jangka panjang dan akan dirasai selama bertahun-tahun pada masa hadapan.

9. Kepada rakyat Malaysia yang berasa terbeban, kita telah memperkenalkan pelbagai program untuk membantu golongan B40 dan juga golongan lain yang memerlukan bantuan. Bantuan yang paling baik adalah BR1M – yang mana akan dihentikan oleh pembangkang sekiranya mereka berkuasa – namun ada juga banyak lagi bantuan-bantuan yang kita tawarkan untuk membantu golongan muda mendapatkan latihan, usahawan-usahawan mikro mendapatkan kredit, dan pelbagai bantuan untuk wanita, komuniti luar bandar dan ramai lagi. Anda kurang mendengar tentang program-program ini, dan pembangkang pula tidak akan menyebut apa-apa tentang semua ini. Namun begitu, saya percaya rakyat sedar akan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh BN dan Kerajaan untuk mereka.

10. Sebagai anak kepada Tun Razak, mana mungkin saya melakukan perkara berbeza daripada beliau? Beliau melaksanakan lebih banyak usaha berbanding orang lain untuk membantu orang Melayu, komuniti luar bandar dan juga golongan miskin. Beliau telah menerapkan dalam jiwa saya bahawa kita perlu berjuang untuk setiap rakyat Malaysia, dan bahawa kita tidak boleh membiarkan sesiapa pun ketinggalan dalam perjalanan kita ke arah pembangunan nasional.

11. Peneroka-peneroka Felda tahu betapa banyak Tun Razak telah membantu mereka dan betapa pentingnya mereka kepada beliau. Saya dan Barisan Nasional berbangga kerana dapat berkhidmat untuk mereka sehingga kini.

12. Namun begitu, ada banyak lagi yang harus dilakukan, dan bukan setiap perkara yang kita lakukan adalah sempurna. Tapi, kita belajar daripada kesilapan agar boleh melakukan dengan lebih baik untuk rakyat pada masa hadapan. Kita jujur tentang perkara ini, dan rekod prestasi kita jelas membuktikannya. Anda boleh mempercayai janji-janji kita untuk masa hadapan, sebagai contoh menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dan mencipta tiga juta peluang pekerjaan, kerana kita telah menepati janji-janji kita yang lalu.

13. Walau bagaimanapun, di mana kita menawarkan kejujuran, pembangkang pula menawarkan penipuan.

14. DAP adalah parti terbesar dalam pakatan pembangkang dengan jumlah kerusi parlimen yang paling besar, oleh yang demikian merekalah kuasa sebenar dalam pakatan pembangkang. Namun mereka memperdayakan rakyat dengan menyembunyikan pemimpin-pemimpin mereka di belakang orang Melayu. Adakah mereka akan membenarkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka menang? Setiap kali ditanya, beliau kata perlukan lebih masa untuk memegang jawatan Perdana Menteri. Kini, beliau kata perlukan sekurangnya tiga tahun pula. Adakah mereka akan ambil risiko meletakkan individu berusia 92 tahun – yang memenjarakan ramai pemimpin mereka – kembali memegang kuasa?

15. Janganlah terperdaya dengan tangisan dan dakwaan melampau kononnya wujudnya sabotaj atau pembunuhan! Bekas diktator ini – gelaran yang beliau sendiri akui – tidak akan berubah sifat. Permohonan maaf yang beliau tawarkan tiada sebarang makna. Faktanya beliau hanya ingin menggunakan bekas lawan beliau -seperti mana mereka menggunakan beliau.

16. Bayangkanlah negara ini di bawah kepimpinan mereka: sekumpulan individu yang menghabiskan hampir keseluruhan hayat mereka untuk menyerang satu sama lain, yang tidak mampu mencapai kata sepakat untuk perkara paling asas dalam sesuatu polisi, dan yang hanya bersatu untuk memperoleh kuasa demi kepentingan peribadi.

17. Seperti mana pesanan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Ahad lepas “Adalah tidak bijak untuk memilih pemimpin yang berkongsi tempat tidur yang sama tetapi mempunyai impian yang berbeza.” Pak Lah berkata mereka yang mempunyai perbezaan dan bertentangan ideologi yang bergabung semata-mata untuk peroleh kuasa adalah sesuatu yang tidak baik untuk negara. Itulah apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

18. Dan kini pula mereka “menikam” rakyat Malaysia dari belakang dengan penipuan-penipuan tanpa henti. Malaysia yang mereka bayangkan adalah sangat berbeza dengan negara yang penuh harmoni yang dibina rakyat Malaysia bersama sejak dulu. Inilah Malaysia yang diiktiraf oleh Bank Dunia dan institusi-institusi antarabangsa dalam laporan-laporan mereka. Inilah Malaysia yang mana, delegasi-delegasi kita disambut dengan penghormatan tertinggi, dari Washington dan London ke Beijing, New Delhi dan Riyadh. Inilah Malaysia yang dipilih oleh Penjaga Dua Kota Suci untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman. Hakikatnya, kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa tidak pernah setinggi ini. Namun, anda tidak akan mendengar semua ini daripada pihak pembangkang.

19. Pada mereka, hitam adalah putih dan putih adalah hitam. Mereka tidak menawarkan harapan, sebaliknya mereka menawarkan bencana.

20. Kini, sebagai contoh, mereka mengancam untuk membatalkan projek ECRL. Sekiranya mereka membatalkan projek tersebut, yang mana bakal mencipta 86,000 peluang pekerjaan, apa pula akan terjadi kepada generasi muda di negeri-negeri yang terlibat? Projek ECRL adalah contoh pelaburan-pelaburan besar yang dibuat oleh Kerajaan, dan sekiranya kita membatalkannya, negara China akan berhenti membeli minyak sawit daripada kita, dan ini akan membawa kesan kepada peneroka-peneroka Felda kita.

21. Pembangkang menakut-nakutkan rakyat kononnya kita menjual kedaulatan kita kepada negara China. Ini tidak benar sama sekali. Pelaburan Malaysia ke negara China pernah lebih besar daripada pelaburan China ke Malaysia, dan kita ada lebih banyak pelaburan ke luar negara daripada pelaburan langsung asing di negara ini. Kita sebenarnya ada lebih banyak FDI dari Jepun berbanding China, namun tidak pula mereka mengatakan bahawa kita menjual kedaulatan negara kepada Jepun! Demi pembangunan nasional, kita mengalu-alukan pelabur-pelabur dari serata dunia, termasuk Afrika, benua Amerika, China, Kesatuan Eropah, India dan Arab Saudi.

22. Ini hanya salah satu contoh bagaimana Pakatan Fitnah mengambil kejayaan-kejayaan yang dicapai rakyat Malaysia di bawah BN dan memutarbelitkannya. Mereka berbohong tentang GST – di mana kutipannya diagih secara langsung kepada rakyat Malaysia menerusi program bersasar agar ia boleh dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukannya, bukannya secara subsidi berpukal yang memanfaatkan bilionaire segera yang menghina penerima-penerima BR1M. Mereka melemahkan negara kita dalam usaha mereka mengejar kuasa. Ia sebenarnya, seperti mana yang disebut oleh laporan media antarabangsa tadi, hanya fitnah.

23. Kita belum pernah lagi melalui satu pilihan raya yang dipenuhi taktik dan helah kotor yang dilemparkan terang-terangan dan tanpa rasa malu. Namun, saya menyeru rakyat Malaysia untuk melihat kebenaran dan bukan penipuan-penipuan mereka, dan mengiktiraf negara kita seadanya, iaitu sebagai sebuah negara yang telah dibangunkan oleh kita bersama.

24. Negara ini adalah negara yang patut kita banggakan. Ia adalah sebuah negara yang telah dibina melalui kerjasama BN dan rakyat. Ini adalah sebuah kerjasama yang saudara dan saudari ketahui, yang saudara saudari boleh harapkan, yang mendengar suara-suara anda, dan yang telah ‘deliver’ dan akan terus ‘deliver’ untuk rakyat Malaysia.

25. Jadi saya meminta kita semua untuk tidak mengambil risiko yang boleh menghancurkan semua ini, sebaliknya ingatlah apa yang telah kita kecapi bersama dan puncak mana yang boleh kita tawan lagi pada masa hadapan. Saya berjanji, sekiranya anda meletakkan kepercayaan kepada Barisan Nasional, kami akan terus bekerja untuk rakyat, dan kami akan terus membina negara ini bersama anda. Ayuhlah kita bersatu untuk Hebatkan Negaraku.

* Datuk Seri Najib Razak adalah perdana menteri Malaysia

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.



Sumber Pilihan terbaik ‘Hebatkan Negaraku’ — Najib Razak

0 Response to "Pilihan terbaik ‘Hebatkan Negaraku’ — Najib Razak"

Post a Comment