Penantian 6 tahun pembeli rumah teres di Jawi bakal berakhir

NIBONG TEBAL: Penantian hampir enam tahun bagi lebih 1,000 pembeli rumah teres di Taman Halaman Indah, Jawi untuk melihat projek perumahan yang diimpikan siap hampir ke penghujungnya.

Ia selepas keluhan mereka yang kecewa apabila projek itu terbengkalai mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang meninjau tapak perumahan di Jawi itu memberi jaminan bahawa projek berkenaan akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan menjalankan pemeriksaan akhir pada 31 Mei ini sebelum Sijil Layak Menduduki (CCC) dikeluarkan dan kunci rumah diserahkan kepada pembeli.

"Selepas perbincangan kedua-dua pihak iaitu wakil penduduk dan juga wakil pemaju, perkara ini dah tertangguh begitu lama, dalam enam tahun. Tahun 2012 sepatutnya siap; pembeli risau.

"InsyaAllah, 31 Mei ini, pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai, akan buat pemeriksaan akhir dan akan dapat kunci," kata Zuraida.

Tambahnya, 170 permohonan bagi rumah kos rendah projek perumahan itu telah diluluskan manakala baki 290 permohonan akan disemak semula kelayakan mereka.

Pihaknya turut bersetuju untuk mengecualikan bayaran guaman kepada pembeli bagi memudahkan mereka menyelesaikan pembayaran akhir dan duti setem sebelum menerima kunci.

Sementara itu, penasihat persatuan pembeli projek perumahan itu, Mohd Fairuz Abdul Razak berkata pelbagai usaha dibuat bagi menyiapkan projek terbengkalai itu, namun gagal.

Dakwanya projek perumahan itu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water.



Sumber Penantian 6 tahun pembeli rumah teres di Jawi bakal berakhir

0 Response to "Penantian 6 tahun pembeli rumah teres di Jawi bakal berakhir"

Post a Comment