'Caranya berlari lain macam dan kerap terjatuh' - Ibu kongsi kesan anak kerap duduk dalam posisi 'W'

Seorang ibu meluahkan rasa kebimbangan dengan gaya duduk anak bongsunya yang didakwa juga mempengaruhi cara berjalan si kecil itu. Beliau yang pada awalnya menyangka anaknya sedang belajar duduk, tidak memikirkan sangat mengenainya. Namun lama kelamaan mereka menyedari cara anaknya berjalan agak lain dari biasa. 
Malah katanya, anaknya kerap terjatuh bilamana sedang berjalan atau berlari. Si ibu tidak menolak kemungkinan kaki anaknya menjadi seperti itu disebabkan sudah terbiasa dengan gaya duduk 'W' sejak dari awal si kecil itu mula belajar untuk duduk. 
TUJUAN saya berkongsi perkara ini sebab ia terjadi pada anak sendiri, Ayyash. Seperti yang saya beritahu dalam posting sebelum ini, Ayyash duduk 'W' masa dia mula-mula belajar duduk. Walaupun saya tahu keburukan duduk seperti itu, masa itu saya fikir mungkin Ayyash sedang belajar posisi duduk yang dia mahukan. 
Dari usia 5-6 bulan, Ayyash duduk seperti itu dan sedikit pun kami tak terfikir untuk memperbetulkan cara duduknya itu. Lama kelamaan, Ayyash semakin kerap duduk seperti itu sehingga dia menjadi selesa. Sedar tak sedar, Ayyash dah 11 bulan pun masih duduk dengan posisi yang sama. Sejak dari itu, kami cuba perbetulkan cara duduknya kalau kami ternampak dia duduk dalam posisi W. 
Mungkin ada sesetengah yang kata, "Alaa, anak aku duduk macam tu elok je, dah besar pun okay je.". Kalau saya jenis berfikiran seperti itu juga, mungkin saya tak akan perasan kesan buruknya terhadap Ayyash. Saya akan berfikir Ayyash berlari jatuh tergolek itu normal. Ayyash tiba-tiba jatuh itu normal, Ayyash jalan-jalan dan tiba-tiba terjatuh itu biasa saja. Ayyah tak kukuh berdiri jika terlanggar sesuatu itu normal. 
Tetapi itu bukan saya saya sebab dari anak sulung, anak kedua dan yang bongsu ini, saya jenis 24 jam sebolehnya mahu melihat perkembangan dan tumbesaran anak. Rezeki saya dari menjaga dan menguruskan mereka sejak dari lahir. Jadi bila nampak sesuatu yang pelik, mulalah hati ini jadi tak tenang. 
Pendekkan cerita, Ayyash mula bertatih pada usia setahun. Suami belikan sport shoes dengan ala-ala Crocs kononnya boleh dipakai untuk harian. Masa Ayyash sedang berjalan, kami nampak dah cara dia berjalan lain dan pergerakan lentuk kakinya nampak seperti comel saja. Nak-nak sebab dia #dakcinonet je. Okey sajalah kan. 
Yang tak okeynya bila Ayyash mula berlari, saya perhatikan cara dia berlari. Aik? Kenapa nampak lain macam saja kakinya? (Rujuk video yang dilampirkan). 
Sejak dari itu hati mula rasa tak sedap. Bila makin galak Ayyash berlari, sejak itu saya perasan juga Ayyash kerap terjatuh. Tak semena-mena jatuh dan keadaan kaki dia ketika berlari dan terjatuh itu amat merisaukan. Lebih-lebih lagi bila pakai kasut ala-ala Crocs itu. 
Saya beritahu suami dan katanya mungkin kasut itu tidak sesuai dengan kaki Ayyash. Okey, sejak itu pakaikan dia sport shoes saja. Tetap juga cara dia berlari itu merisaukan dan tetap juga ada terjatuh walaupun tak seteruk sebelum ini. Alhamdulillah. 
Apa yang menyedihkan lagi bila badan Ayyash tiba-tiba makin berisi, otot dia tak kuat dan mudah terjatuh walaupun sedang berjalan. Boleh tengok gambar lutut yang tengah itu di mana kedudukan lututnya tidak normal. 
Kasihannya anak mama. Sedih sangat mama sayang. Sekarang mama papa sedang usahakan bawa Ayyash pergi berurut, lakukan senaman dan lihat hasilnya nanti bagaimana. Jika tiada sebarang perubahan, kenalah rujuk pada pakar demi kebaikan Ayyash. Doakan yang terbaik untuk Muhammad Ayyash Aydan ye. 


Sumber 'Caranya berlari lain macam dan kerap terjatuh' - Ibu kongsi kesan anak kerap duduk dalam posisi 'W'

0 Response to "'Caranya berlari lain macam dan kerap terjatuh' - Ibu kongsi kesan anak kerap duduk dalam posisi 'W'"

Post a Comment