Azmin Ali bincang beberapa portfolio Kabinet Selangor bersama Anwar

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali hari ini berbincang bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus meneliti beberapa portfolio bagi membariskan kepimpinan Kabinet Pusat.

Menurutnya, proses rundingan pelantikan menteri bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu akan mendapat persetujuan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

“Kami (saya dan Anwar) berbincang tentang beberapa portfolio untuk diteliti oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapatkan persetujuan daripada barisan presiden parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Dalam perbincangan ini kami turut menyatakan kepada Tun Dr Mahathir agar pelantikan barisan Kabinet Pusat harus mengambil kira semangat muafakat selain bersifat inklusif melibatkan semua parti komponen.

“Alhamdulillah, Tun Dr Mahathir menyambut baik saranan yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim selepas mereka berjumpa semalam,” katanya ketika ditemui selepas melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa pelantikan menteri kanan dibuat Tun Dr Mahathir tanpa rundingan parti itu, beliau sebaliknya meminta Rafizi merujuk semula kenyataan rasmi Anwar.

"Perkara ini telah dibincangkan dan Anwar pun telah mengeluarkan kenyataan rasmi. Saya yakin dan percaya kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Wan Azizah sebagai satu regu terbaik bagi membentuk kerajaan baharu dan memenuhi aspirasi rakyat keseluruhannya.

"Setiap proses perlu berjalan dengan baik dan harmoni kerana sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan terlalu besar. Jangan kita mengecewakan harapan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Wan Azizah dalam membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu ini," katanya.



Sumber Azmin Ali bincang beberapa portfolio Kabinet Selangor bersama Anwar

0 Response to "Azmin Ali bincang beberapa portfolio Kabinet Selangor bersama Anwar"

Post a Comment