Jemaah Menteri sedia ada adalah Kerajaan Sementara - KSN

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri sedia ada secara rasminya adalah Kerajaan ‘Caretaker’, selari dengan peruntukan di bawah Perkara 40, Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Menurut satu kenyataan hari ini, beliau berkata, peruntukan itu jelas menyebut Yang di-Pertuan Agong, sebagai ketua negara, perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, atau Menteri yang diberikan kuasa am oleh Jemaah Menteri.

“Dalam kes Abdul Ghani Ali lawan Pendakwaraya, Mahkamah Persekutuan turut mengiktiraf bahawa Jemaah Menteri hendaklah ada pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas Parlimen dibubarkan, selaras dengan peruntukan Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian, Jemaah Menteri yang sedia ada merupakan Kerajaan Caretaker bermula dari masa pembubaran Parlimen sehingga Jemaah Menteri baru dilantik selepas pilihan raya umum atau Parlimen  bersidang semula selepas pilihan raya umum mengikut mana yang lebih awal,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan secara rasmi hari ini, sekali gus membuka ruang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan dalam tempoh 60 hari.

BACA: Parlimen bubar hari ini 

BACA: PM Najib, 11 dan pembubaran parlimen 

Tan Sri Dr Ali berkata, konsep Kerajaan Caretaker adalah suatu konvensyen perlembagaan (constitutional convention) yang turut diamalkan di Negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen.

“Kerajaan Caretaker boleh membuat tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan sehingga suatu kerajaan baharu dibentuk. 

“Antara contoh perkara pentadbiran tersebut ialah seperti meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada dan mengadakan majlis rasmi kerajaan,” katanya lagi.



Sumber Jemaah Menteri sedia ada adalah Kerajaan Sementara - KSN

0 Response to "Jemaah Menteri sedia ada adalah Kerajaan Sementara - KSN"

Post a Comment