Malah, penyanyi berusia 29 tahun ini lebih selesa untuk terus berulang-alik.
“Saya selesa macam ini (ulang-alik). Nak menetap terus di sana, rasanya tak kot. Lagipun, hati saya tetap di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Min tidak menolak akan meluangkan lebih masa di Filipina demi membangunkan kerjaya seninya.
“Cuma bila tengah ‘panas’ di sini, saya kenalah lebih banyak masa di sini dan terus fokus,” katanya.
Min atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz mula mencipta kejayaan di Filipina selepas menghasilkan album 2 Voices duet bersama Nikki Bacolod pada 2015.
“Alhamdulillah, saya tak sangka album itu berjaya menarik minat pendengar. Malah, lagu-lagu terdahulu sangat disukai ramai sehingga mampu bertahan lebih daripada empat bulan menerusi beberapa carta radio di sana,” katanya.
Susulan itu, demi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi di negara itu, Min mengambil keputusan menghasilkan album solo, Min Yasmin - Pangarap dan bakal dilancarkan di Manila Polo Club, Filipina pada 22 Februari depan.
“Apabila dah selalu sangat terlibat dengan pelbagai acara di sini, ia buat saya lebih yakin dan terdorong untuk keluar dengan album solo pula," katanya teruja dengan respons peminat yang menggalakkannya menghasilkan lagu di negara itu.
Tambah Min, dia juga sedar tidak ramai artis luar yang betul-betul berpeluang menembusi industri muzik di sana kerana artis mereka sendiri sangat berkualiti dan berbakat.
Katanya, album solonya itu mengandungi 14 lagu yang melibatkan lima bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sama, Inggeris dan Melayu.
Lebih istimewa, katanya, ia turut mendapat sentuhan daripada komposer terkenal tempatan dan Filipina iaitu Julfekar, Raz Tawasil Itum (Tagalog), Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).
“Kali ini, saya ingin memikat hati lebih ramai masyarakat Filipina dengan memasukkan lagu bahasa Tausug dan Sama.
“Inilah usaha terbesar saya buat pendengar di sana dan saya harap mereka juga dapat belajar mengenai keindahan lirik dan melodi dari Malaysia menerusi dua lagu bahasa Melayu yang saya selitkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Min juga bakal menghasilkan album solo bahasa Melayu, selepas ini.
“Saya tak pernah terkilan walaupun kurang dikenali di negara sendiri. Tapi, saya yakin dengan usaha, tawakal dan rezeki yang ditetapkan oleh ALLAH SWT.
“Insya-ALLAH, akan tiba masanya nama saya turut diterima baik di negara sendiri. Apa yang penting saya telah melakukan yang terbaik,” katanya.
Sumber Tidak rancang pindah ke Filipina : Min Yasmin
0 Response to "Tidak rancang pindah ke Filipina : Min Yasmin"
Post a Comment