Saya akan jaga semuanya, jaga peribadi: Intan Najuwa

BAGI yang menonton drama Kekasih Paksa Rela di TV3 yang sudah pun berakhir minggu lalu, pasti sudah mengenali kelibat gadis kecil molek yang membawa watak Hanan Khaira ini.

Biarpun masih setahun jagung di dalam industri namun tuah ternyata menyebelahi anak kelahiran Johor Bahru  ini apabila pantas mendaki puncak populariti selepas drama lakonannya bersama aktor hebat Malaysia, Remy Ishak mendapat sambutan hangat.

Tidak mudah leka dengan populariti mendadak yang dikecapi, akui pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid atau dikenali sebagai Intan Najuwa ini dia sebenarnya bimbang dengan impak yang diterima dan cuba untuk menjaga nama dan imejnya sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, impak di luar jangkaan saya sendiri. Pergi mana-mana memang orang panggil Hanan Khaira sampai mereka sendiri lupa nama betul saya (ketawa).

“Tidak dinafikan saya sedikit bimbang sebab semuanya mendadak. Apatah lagi sekarang semua gerak geri diperhatikan dan tingkah laku saya pun orang akan sentiasa tengok.

“Tapi Insya-ALLAH saya akan jaga semuanya dan jaga peribadi.

“Malah saya juga merancang untuk memasuki kelas lakonan agar saya saya dapat meningkatkan lagi mutu dan kualiti lakonan supaya saya terus diingati dan kekal dikenali,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, ditanya pengalamannya bekerja dengan aktor yang umum sedia maklum tentang keberkesanan lakonannya, Intan berkata, Remy sebenarnya agak tegas apabila berada di set penggambaran.

“Bekerja dengan Remy Ishak merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Kalau nak tahu Remy bila waktu bekerja dia garang sikit! (ketawa).

“Mungkin sebab saya pelakon baru, banyak buat silap . Tapi saya menghormati dia sebagai orang lama. Peluang yang sangat-sangat berharga bila dapat berlakon dengan orang-orang yang berpengalaman.

“Kalau ada offer bergandingan dengan Remy lagi, saya tidak serik untuk kembali bekerja dengannya,” katanya yang baru dua tahun berkecimpung di dalam industri dan bernaung di bawah syarikat Metrowealth (MiG) milik Mejar (K) David Teo.

Intan berkata, sekiranya diberi peluang, dia berharap dapat menjadi gandingan aktor method, Bront Palarae.

“Bagi saya beliau lain daripada yang Lain, dan perwatakan dia sangat down to earth dan humble.

“Malah kalau diberi peluang, saya teringin nak bawa watak yang lari daripada imej Hanan Khaira iaitu antagonis,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Intan berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran muzik video single terbaru Liza Hanim.

“Buat masa ini saya banyak aktif dengan event-event dan fokus dengan perniagaan sendiri.

“Insya-ALLAH kalau tak ada aral melintang, saya akan keluarkan produk saya sendiri. Sekarang masih dalam proses dan mengambil masa yang agak lama. Sama-sama kita nantikan apakah produk tersebut,” jelasnya.



Sumber Saya akan jaga semuanya, jaga peribadi: Intan Najuwa

0 Response to "Saya akan jaga semuanya, jaga peribadi: Intan Najuwa"

Post a Comment