Terima kasih Klopp: Salah

LIVERPOOL: Penjaring terbanyak Liverpool Mohamed Salah meluahkan penghargaan terhadap corak taktikal pengurusnya Juergen Klopp yang memastikannya muncul penyerang prolifik apabila menjelaskan pertukaran posisinya membantunya meledak lebih banyak jaringan.

Salah menjaringkan 30 gol dalam 36 perlawanan semua kejohanan pada musim pertamanya di Liverpool dan muncul penjaring kedua terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 22 gol, kurang satu berbanding penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane.

"Menerusi bantuan beliau, permainan saya semakin hampir ke gawang, lebih daripada ketika berada di kelab lain juga lebih berbanding yang diminta jurulatih saya sebelum ini," kata Salah.

"Jadi saya sentiasa berada di depan gol untuk memberikan peluang menjaringkan gol. Pengurus sentiasa memberitahu supaya sentiasa menghampiri gawang ketika latihan.

"Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak kerana perjalanan kami masih jauh musim ini dan saya tidak mahu bercerita terlalu banyak tetapi ia sesuatu yang kami usahakan pada sesi latihan."

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya meletakkan Liverpool di tangga ketiga liga dan hampir pasti menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas membelasah Porto 5-0 pada aksi pertama 16 pasukan terakhir.

Pemain Mesir itu juga mencatat percubaan kedua terbanyak di liga berkenaan dengan 103 percubaan dan semakin bersemangat untuk melakukan lebih banyak percubaan tepat.

"Anda tidak boleh menjaringkan 10 gol daripada 10 percubaan, ia sesuatu yang mustahil dan saya sedar kehilangan beberapa peluang musim ini namun saya cuba memperbaiki diri," kata Salah.

"Saya sentiasa cuba melihat kelemahan dan memperbaikinya serta menjaringkan gol dengan cara berbeza.

"Jurulatih banyak membantu saya dan saya juga bekerja keras sendiri selepas sesi latihan."

Liverpool menanti kunjungan West Ham United dalam aksi liga Sabtu ini. - Reuters



Sumber Terima kasih Klopp: Salah

0 Response to "Terima kasih Klopp: Salah"

Post a Comment