KEPALA BATAS: "Kami tiada pilihan lain, hanya mengharapkan sumbangan orang ramai," kata Zuliana Awang Kechik, 30, yang memerlukan bantuan untuk membiayai rawatan jantung berlubang dihidapi anak lelakinya berusia dua tahun.
Suri rumah itu berkata, Muhammad Zafran Idham Akmal Fikri disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak setahun lalu, dan kos pembedahan bagi merawatnya dianggarkan berjumlah RM60,000.
Akibat penyakit itu, katanya, hati dan jantung Muhammad Zafran Idham kini membengkak, malah doktor sedang berusaha mengelakkan berlaku kerosakan injap atau jangkitan kuman ke bahagian paru-paru.
"Doktor pakar di sebuah hospital swasta di Georgetown menyarankan pembedahan dilakukan segera sebelum Ramadan ini kerana dikhuatiri penyakit itu memberi kesan buruk terhadap injap dan paru-paru anak.
"Saya buntu mana kami nak cari duit sebanyak itu memandangkan suami, Akmal Fikri Abd Rasid, 31, hanya memperoleh gaji cukup-cukup makan sebagai pemandu.
"Pada masa sama, kami juga memerlukan duit bagi menampung kos rawatan anak setiap bulan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini, semalam.
MOHD Hafiz (empat dari kanan) menyampaikan kutipan sumbangan wang tunai kepada Akmal Fikri untuk mengumpul dana pembedahan buat anaknya selepas disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak setahun lalu di rumah mereka di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas. - Foto Muhammad Shalaby Shahbuddin
Terdahulu, kanak-kanak itu menerima kunjungan dan sumbangan wang tunai daripada Pengerusi Persatuan Gabungan Anak-Anak Seni Wilayah Utara (SUPERFRIENDS), Mohd Hafiz Maidinsa; wakil Pertubuhan Menyatupadukan Anak-Anak Negara Malaysia (MPAN), Asahri Azaman; serta wakil sebuah pasar raya terkemuka.
Setakat ini, Zuliana berkata, beliau dan suami menerima hasil sumbangan orang ramai dianggarkan lebih RM1,000, selain menghantar permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Zakat Pulau Pinang (ZPP), baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, pihaknya melancarkan tabung ihsan membantu kutipan dana rawatan Muhammad Zafran Idham sejak pertengahan bulan lalu.
Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat (22-122-115812-1) atas nama Akmal Fikri Abd Rasid atau menghubunginya melalui talian 012-4527130.
Keterangan gambar:
1. Mohd Hafiz menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Akmal Fikri bagi membantu meringankan beban kos rawatan Muhammad Zafran Idham.
2. Akmal Fikri dan Zuliana bersama Muhammad Zafran Idham yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak setahun lalu.
Sumber Kanak-kanak perlu bantuan rawat jantung berlubang
0 Response to "Kanak-kanak perlu bantuan rawat jantung berlubang"
Post a Comment