Spurs hampir pulang hampa: Kane

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, malam tadi cukup sukar malah dia pada satu ketika sedia menerima pertemuan akan berakhir tanpa sebarang jaringan.

Begitupun, penyerang England itu muncul wira pasukannya apabila menanduk masuk bola berpunca sepakan sudut Christian Eriksen pada minit ke-88 sekali gus menebus kegagalannya untuk menyempurnakan dua peluang terhidang di awal permainan.

Kane sepatutnya sudah meletakkan pelawat di depan apabila bola jatuh di depannya susulan kesilapan yang dibuat oleh Patrick van Aanholt tetapi rembatannya meliar melepasi gawang.

Dia sekali lagi terlepas peluang di awal babak kedua apabila menerima hantaran sebelah kanan Eriksen dan tanpa sebarang asakan, rembatannya tersasar ke sisi gawang.

"Kami menunggu sehingga penghujung permainan," kata Kane. "Saya fikir ia mungkin bukan hari kami kerana kami mempunyai beberapa peluang, terutama daripada saya dan Serge Aurier di lewat permainan.

"Tetapi kami menunggunya sehingga penghujung. Kami perlu bermain bermati-matian, dengan beberapa perlawanan yang sukar terpaksa diharungi sebelum ini.

"Kini kami perlu mengekalkan momentum ini bagi perlawanan berikutnya."

Ia adalah gol ke-35 Kane sepanjang musim ini yang menjadikannya penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 24 gol, lebih satu gol di depan pemain Liverpool, Mohamed Salah.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino begitupun merasa pasukannya layak meraih kemenangan selepas menguasai lebih 75 peratus permainan.

"Hari ini sukar tetapi kami sentiasa tahu kami akan menjaringkan gol," katanya. "Kami memiliki pemain-pemain yang hebat di atas padang, apabila kamu memiliki mereka, kemungkinan untuk menjaringkan gol sentiasa ada."

Kemenangan menyaksikan Tottenham mendaki ke tangga keempat liga. - REUTERS



Sumber Spurs hampir pulang hampa: Kane

0 Response to "Spurs hampir pulang hampa: Kane"

Post a Comment