KECOH… Seramai 17 lelaki warga asing terdiri masing-masing daripada 10 rakyat Indonesia dan tujuh lagi dari Bangladesh yang video pergaduhan mereka tular pada hari ini sudah pun direman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, kesemua mereka telah ditahan reman bagi membantu siasatan pergaduhan di sebuah tapak pembinaan pada 10 Februari lalu.
Lucunya insiden di tapak pembinaan di Jalan Bukit Indah 1, Bukit Jalil di ibu negara itu hanya berpunca daripada pekerja tersebut berebut menaiki sebuah lif sebelum ia merebak membabitkan kumpulan dari dua buah negara.
“Puncanya kerana salah seorang suspek lelaki warga Indonesia terpaksa menunggu lif untuk turun ke tingkat bawah dari tingkat 16 dan berlaku perebutan semasa hendak turun menggunakan lif sebelum berlaku tolak-menolak.
“Ia kemudian disusuli aksi tumbuk menumbuk sesama buruh terbabit,” kata Rushdi dalam satu kenyataan media hari ini sebagai mengulas penularan rakaman video kes tersebut yang berdurasi 33 saat sejak lewat semalam.
Berdasarkan rakaman berkenaan, sekumpulan pekerja buruh binaan dilihat saling berkejaran sambil menjerit kuat di atas bumbung sebuah bangunan kediaman berstrata tersebut yang masih lagi dalam kerja-kerja pembinaan.
Visual rakaman berkenaan dimuat naik netizen menerusi laman Facebook. Tambah Rusdi, susulan kejadian tersebut, tiga pekerja binaan warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia disahkan mengalami kecederaan.
Empat mangsa terbabit seterusnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Bandar Tun Razak untuk menerima rawatan kecemasan.
Sumber: Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Sumber Buruh Bangladesh, Indonesia bergaduh kerana rebut lif
0 Response to "Buruh Bangladesh, Indonesia bergaduh kerana rebut lif"
Post a Comment