
BERLIN: Arjen Robben menjaringkan dua gol bagi membantu Bayern Munich ke separuh akhir Piala Jerman menerusi kemenangan mutlak 6-0 dalam aksi suku akhir Piala Jerman ke atas kelab divisyen ketiga Paderborn awal pagi tadi.
Kingsley Coman, Robert Lewandowski, Joshua Kimmich dan Corentin Tolisso turut mencatat nama selaku penjaring buat Bayern sebelum Robben menambah dua gol saat akhir tatkala gergasi Bavaria itu memburu rekod gelaran Piala Jerman ke-19.
"Kami hanya perlukan selangkah lagi di Berlin dan kami mahukan dua gelaran," kata Robben, dengan final Piala Jerman akan diadakan di ibu negara itu pada 19 Mei.
"Kami benar-benar gembira, ia kerja berpasukan. Kami mencipta dan menyudahkan beberapa gol menarik."
Namun Bayern mungkin kehilangan Thomas Mueller untuk aksi Bundesliga berdepan Schalke Ahad ini selepas penyerang Jerman itu terhincut-hincut keluar padang akibat kecederan pada separuh masa pertama.
Paha Mueller luka selepas bertembung dengan penjaga gol Paderborn sebelum gol pembukaan daripada Coman pada minit ke-19, selepas percubaan Paderborn sebelum itu dibatalkan akibat ofsaid.
"Kami harap dia akan sembuh untuk menentang Schalke, kami mengeluarkannya sebagai langkah berjaga-jaga," kata jurulatih Bayern Jupp Heynckes.Bayern berada 2-0 di depan pada minit ke-25 apabila Coman berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum disudahkan penyerang Lewandowski.
Mueller bermain sehingga setengah jam perlawanan sebelum tempatnya digantikan Tolisso.
Bayern yang kini 18 mata mendahului Bundesliga akan disertai Bayer Leverkusen pada aksi separuh akhir yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Werder Bremen 4-2 selepas masa tambahan. - AFP
Sumber Bayern pesta gol
0 Response to "Bayern pesta gol"
Post a Comment