Bantuan kerajaan 'anak kunci' kejayaan Robert Kuok

SERDANG: Datuk Seri Najib Razak mengumpamakan bantuan daripada kerajaan adalah 'anak kunci' kejayaan seseorang individu.

Perdana Menteri berkata, 'anak kunci' berbentuk dasar yang dilaksanakan kerajaan bermatlamat membuka dan menghasilkan peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, 'anak kunci' itu juga amat penting kepada semua golongan manusia untuk mereka selangkah ke hadapan sekali gus berjaya dalam sektor yang diceburi.

Beliau berkata, selain berdoa, rajin, berdisplin dan tekun, mana-mana individu masih memerlukan 'anak kunci' itu.

"Berdasarkan pengalaman saya, dalam kehidupan seorang manusia sama ada dia seorang serba sederhana, mahupun dia tersenarai sebagai orang terkaya di Malaysia ataupun orang politik, apa persamaan mereka?

"Apa yang saya dapat simpulkan, sesuatu yang berlaku kepada individu itu apabila seorang itu memperoleh 'anak kunci', ia dapat buka pintu kehidupannya to better future (ke arah masa depan yang lebih baik).

"Kalau kita tengok nama-nama orang terkaya di Malaysia, mungkin bermula dengan (Tan Sri) Robert Kuok, siapa bagi anak kunci kepada beliau sehingga dapat monopoli beras dan gula yang diberi kerajaan pimpinan hari ini," katanya.

Bercakap di hadapan lebih 5,000 hadirin yang kebanyakan adalah pelatih Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), Perdana Menteri juga mengumpamakan SL1M sebagai anak kunci yang wajib direbut siswa.

Najib berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan program latihan itu, ia bakal merugikan rakyat.

"Kita tidak mahu graduan lepasan universiti kita menganggur. Alangkah sedihnya bila keluar universiti tiada pekerjaan.

"Faktor tiada peluang dan gagal temuduga adalah kurangnya softskill (kemahiran insaniah), kurang keyakinan.

"Jadi, SL1M dapat garap bakat mereka dalam softskill, bagi latihan tambahan. Selepas SL1M, ramai dapat banyak tawaran. Kita mesti ucap terima kasih kepada semua GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan)," katanya ketika berucap merasmikan Perasmian Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot, dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Sekreatariat SL1M, Norashikin Ismail.

Pada tahun lalu, Perdana Menteri mengarahkan semua syarikat yang mendapat kontrak perolehan kerajaan diwajibkan untuk melaksanakan program SL1M.

Satu prasyarat juga ditetapkan bahawa syarikat yang sedang atau pernah melaksanakan program SL1M sahaja akan dipertimbangkan dalam penganugerahan kontrak baharu dari kerajaan.

Perdana Menteri berkata GLC, GLIC dan syarikat swasta perlu ada tanggungjawab sosial dengan tidak berkongsi keuntungan secara sendirian, sebaliknya mereka perlu beri semula kepada komuniti.

Dalam temuduga SL1M kali ini, terdapat lebih 150 majikan yang menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor.

Najib berkata, beliau dimaklumkan, sehingga hari ini, lebih daripada 140,000 graduan sudah dilatih melalui program SL1M.



Sumber Bantuan kerajaan 'anak kunci' kejayaan Robert Kuok

0 Response to "Bantuan kerajaan 'anak kunci' kejayaan Robert Kuok"

Post a Comment