Robert Kuok berjaya kerana dasar kerajaan - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, bantuan kerajaan membolehkan Tan Sri Robert Kuok menjadi individu terkaya di Malaysia walaupun jutawan itu diakui memiliki hak tersendiri dan rajin bekerja.

Perdana Menteri menegaskan, ketekunan dan disiplin saja tidak mencukupi tanpa peluang dan ruang luas dimiliki Kuok untuk memonopoli perniagaan beras dan gula satu ketika dulu, hasil pimpinan kerajaan yang wujud hingga hari ini.

Katanya, pelbagai dasar kerajaan adalah anak kunci yang membuka ruang dan peluang untuk golongan seperti Kuok menjadi lebih maju.

"Berdasarkan pengalaman saya, dalam kehidupan manusia sama ada dia seorang yang serba sederhana, tersenarai sebagai orang terkaya di Malaysia ataupun orang politik, apa persamaan mereka?

"Apa yang saya dapat simpulkan, apabila seorang itu memperoleh anak kunci, ia dapat buka pintu kehidupannya 'to a better future' (ke arah masa depan yang lebih baik).

"Kalau kita tengok nama-nama orang terkaya di Malaysia, mungkin bermula dengan (Tan Sri) Robert Kuok, siapa bagi anak kunci kepada beliau sehingga dapat monopoli beras dan gula yang diberi kerajaan pimpinan hari ini.

"Ya, dia ada hak. Ya, dia rajin, dia tekun dan dia berdisiplin, tetapi itu saja tidak cukup. Mana-mana individu memerlukan anak kunci dan anak kunci itulah yang kita harap melalui dasar-dasar kerajaan untuk membuka peluang dan ruang mereka lebih maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot; dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Sekreatariat SL1M, Norashikin Ismail.

Baru-baru ini, penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin, menerusi portal www.malaysia-today.net mendakwa Kuok mempunyai agenda menggantikan pemerintahan kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

Raja Petra mendakwa, Kuok dikatakan mahukan gelombang perubahan dalam kalangan orang Melayu ke arah mencapai hasrat berkenaan.



Sumber Robert Kuok berjaya kerana dasar kerajaan - PM

0 Response to "Robert Kuok berjaya kerana dasar kerajaan - PM"

Post a Comment