Kementerian Pendidikan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menempatkan segera guru mengamuk semasa mesyuarat ke Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu bermula hari ini sementara siasatan mengenai punca selesai.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Pendidikan berkata, tindakan tersebut bertujuan untuk mententeramkan keadaan terutama emosi guru berkenaan dan menjaga ketenteraman proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di sekolah itu.
“Seorang guru dari sebuah sekolah di Kulim, Kedah telah didapati menunjukkan reaksi yang tidak melambangkan profesionalisme seorang guru Malaysia dalam satu mesyuarat guru.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 24 Januari lalu dan menjadi tular sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak,” katanya hari ini.
Menurut Kementerian Pendidikan, pihaknya mengingatkan semua guru serta pentadbir sekolah agar sentiasa berkelakuan dan bertindak secara profesional setiap masa khususnya dalam konteks sesama rakan sekerja, murid serta masyarakat supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.
“Kami juga menegaskan bahawa sebagai penjawat awam, mereka hendaklah setiap masa menunjukkan teladan baik agar kepercayaan dan keyakinan terhadap profesion keguruan tidak menjadi bahan persendaan masyarakat,” katanya.
Kelmarin, Exco Pendidikan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain menyatakan pihaknya memandang serius isu membabitkan seorang guru di Kulim yang didakwa mengalami masalah mental tetapi masih dibenarkan mengajar.
Jelasnya, jika terbukti mempunyai masalah terbukti mempunyai masalah mental, guru terbabit tidak sepatutnya meneruskan tugas sebagai pendidik dan Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengambil tindakan segera dengan meminta guru terbabit mendapatkan rawatan sehingga pulih sepenuhnya.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Kementerian arah guru mengamuk dipindah segera
0 Response to "Kementerian arah guru mengamuk dipindah segera"
Post a Comment