5 tumpuan MPN harungi cabaran 2018

TAHUN 2018 menerjah dengan pelbagai cabaran baharu, selain membawa cabaran semalam yang masih perlu diberikan perhatian. Kita sangat bersyukur, di sebalik situasi ekonomi dunia tidak menentu, Malaysia mampu bertahan dan terus mara mengharungi cabaran.

Kadar pertumbuhan ekonomi masih dapat kita pertahankan momentumnya apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 dicatatkan pada kadar 5.2 peratus berbanding 4.9 peratus pada 2016. Kadar pengangguran masih di bawah 4 peratus, tergolong dalam hanya beberapa negara dunia menikmatinya. Kemiskinan tegar masih di bawah satu peratus dan beberapa indeks dan penarafan dunia yang boleh dibanggakan.

Bagaimanapun, kedudukan dan pencapaian ini tidak seharusnya membuat kita berlapang dada. Sebaliknya, usaha berterusan perlu dijayakan bagi memperkukuh asas Malaysia menuju negara maju dan sejahtera.

Majlis Profesor Negara (MPN) yang terdiri daripada lebih 2,900 profesor universiti awam dan swasta, sentiasa berazam dan mengatur strategi untuk menawarkan input kepakaran akademik dengan penggemblengan seluas-luasnya harta ilmuwan negara itu.

Tumpuan akan diberikan kepada lima inisiatif berimpak tinggi untuk 2018 seiring peranannya sebagai badan pemikir negara yang membitarai pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Kelima-lima inisiatif berimpak tinggi ini dapat dijayakan melalui penggemblengan tenaga kepakaran akademik dan saintifik profesor, termasuk lebih 4,000 profesor madya dan juga pensyarah dengan melaksanakan advokasi sosial, memperhalusi dan mencadangkan inisiatif baharu serta penggubalan dasar dan menyelaras pembangunan serta pengembangan penyelidikan strategik negara.

Bangun petunjuk KDNK

Program dan pendekatan yang diberikan tumpuan itu dirasakan akan memberi suluhan terang kepada hala tuju negara, di samping sifat yang mempunyai kesan penggandaan dan pembesaran kepada masyarakat.

Lima inisiatif berfokus itu ialah usaha Membangun Petunjuk KDNK atau GDP Inklusif Mengambil kira Kebajikan Ekonomi dan Kelestarian Sumber, Pelan Pembangunan Perpaduan Negara, Inisiatif Menangani Kos Sara Hidup, Rasionalisasi Kualiti Pendidikan Tinggi Melangkaui Sistem Ranking dan Pengurangan Kebergantungan Pekerja Asing.

Inisiatif pertama, iaitu Membangun Petunjuk KDNK atau GDP Inklusif Mengambil kira Kebajikan Ekonomi dan Kelestarian Sumber akan melihat aspek kesan pembangunan dan kemajuan ekonomi kepada kesejahteraan rakyat.

MPN berpandangan usaha transformasi ekonomi menuju Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi seharusnya seiringan dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, pembangunan perlu mengambi kira pembangunan secara lestari dan penjagaan alam sekitar. Hal ini akan menjadikan pembangunan, kemajuan dan transformasi negara lebih bermakna dan menjamin kelahiran generasi negara maju bertamadun dan dengan identiti mapan.

Inisiatif kedua, iaitu Pelan Pembangunan Perpaduan Negara akan menerobos usaha baharu bagi memperkukuh usaha ke arah perpaduan negara dan menyatupadukan masyarakat. MPN percaya perpaduan ialah kunci kepada kestabilan dan keharmonian yang dicapai sejak kemerdekaan Malaysia.

Langkah kerajaan menaik taraf Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai institut bertaraf kebangsaan dengan tambahan dana penyelidikan, amat dipuji oleh MPN kerana akan melonjakkan lagi usaha ke arah perpaduan negara, melalui penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi sosial.

Konsep 'wa' atau harmoni akan dijadikan kunci kepada usaha perpaduan itu dengan mengutarakan sifat saling menghormati dan toleransi sebagai tiang seri.

Inisiatif ketiga, iaitu Menangani Kos Sara Hidup akan memperlihat banyak lagi idea segar dan pendekatan strategik oleh MPN bagi membantu kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Hal ini, antaranya akan memberi tumpuan kepada isu kemiskinan bandar dan cara rakyat boleh meningkatkan pendapatan melalui perniagaan atas talian dengan memanfaatkan teknologi digital.

Inisiatif keempat, iaitu Rasionalisasi Kualiti Pendidikan Tinggi Melangkaui Sistem Ranking pula akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan limpahan kualiti institusi pendidikan tinggi (IPT) secara menyeluruh.

MPN berpandangan kelebihan kedudukan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, sebagai dua universiti terbaik negara berdasarkan sistem penarafan QS Ranking, wajar memberi manfaat kepada universiti lain dengan semangat keserakanan (collegiality).

Kurangkan pekerja asing

Inisiatif kelima, iaitu Pengurangan Kebergantungan Pekerja Asing di negara akan memberi fokus kepada usaha meminimumkan keperluan tenaga kerja asing bagi merealisasikan hasrat Malaysia menjadi negara maju. MPN tekad jika Malaysia mahu menjadi negara maju, negara tidak boleh bergantung kepada pekerja asing berkemahiran rendah, sebaliknya memperluas penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan perkhidmatan dan pengeluaran.

Isu pendatang tanpa izin mesti diuruskan sebaik mungkin tanpa mengganggu usaha pembangunan fizikal.

2018 ialah tahun kritikal buat Malaysia. Bukan sahaja tahun pilihan raya, tetapi tidak sampai dua tahun lagi, kita bakal menerjah 2020.

Kejayaan Malaysia pada 2020 sangat kritikal untuk membawa negara terus cemerlang pada 2050. MPN sentiasa peka dengan cabaran semasa dan mendatang, seiring dengan peranannya sebagai pemikir negara mendahului zaman.

Baru-baru ini, MPN berkesempatan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. MPN teruja dengan gagasan Dekad Baharu Johor yang mahu menjadikan Johor negeri terbaik dan termaju menjelang 2028.

MPN percaya, gagasan ini bukan saja untuk kebaikan Johor, tetapi menyumbang kepada usaha merealisasikan TN50. Ini disebabkan kejayaan Malaysia pada 2050 sangat bergantung kepada pencapaian kita pada 2020, 2030 dan 2040.

Penulis adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Profesor Negara (MPN)



Sumber 5 tumpuan MPN harungi cabaran 2018

Related Posts :

0 Response to "5 tumpuan MPN harungi cabaran 2018"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect
This website attempted to run a cryptominer in your browser. Click here for more information.