KUANTAN: Seramai 118 bekas pekerja sebuah kilang besi di Pusat Perindustrian Gebeng yang diberhentikan secara mengejut menuntut bekas majikan mereka membayar segera gaji tertunggak dan pampasan yang dianggarkan berjumlah RM700,000.
Mereka mendakwa diberhentikan secara berperingkat sejak hujung 2016 sehingga 16 Oktober lalu oleh syarikat disenaraikan dalam Bursa Malaysia itu yang mengurangkan operasi berikutan kekurangan permintaan besi di pasaran dunia.
Selain gaji tertunggak dan pampasan, pekerja terbabit turut mendakwa syarikat itu tidak membayar caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun ada membuat pemotongan berdasarkan keterangan pada penyata gaji.
Wakil kepada kumpulan pekerja terbabit, Zafran Ahmad, 43, berkata tindakan bekas majikan tidak membayar gaji tertunggak dan pampasan yang sepatutnya diterima mereka adalah mengecewakan dan disifatkan sebagai penganiayaan.
Katanya, tindakan syarikat berkenaan tidak membayar gaji tertunggak dan pampasan jelas membebankan pekerja yang perlu menanggung perbelanjaan keluarga dan ada di antaranya masih belum mendapat pekerjaan.
Sebahagian daripada 118 bekas pekerja melakukan demonstrasi aman selepas mereka diberhentikan kerja tanpa mendapat sebarang pampasan di pekarangan sebuah kilang besi di Gebeng, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang
"Sehubungan itu, kita sudah membawa perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang kemudian mengatur perbincangan di antara pekerja dan majikan pada 15 November lalu, namun mengecewakan kerana mereka tidak menghantar wakil.
"Kita kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan hak pekerja diperoleh," katanya.
Zafran ditemui selepas mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut mereka membayar gaji tertunggak dan pampasan bersama 50 bekas pekerja di hadapan kilang besi berkenaan di Pusat Perindustrian Gebeng, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, seorang pekerja, Mohd Khaizal Idris, 42, yang diberhentikan pada penghujung 2016, berkata dia dan rakannya pernah membawa masalah itu di Mahkamah Perusahaan yang kemudiannya memutuskan bekas majikannya itu perlu membayar tunggakan gaji.
"Tetapi sampai sekarang mereka masih belum berbuat demikian, sepatutnya mereka bayar penuh gaji kami tetapi hanya membayar gaji bagi 12 hari bekerja.
"Kami amat memerlukan pembayaran tunggakan gaji berkenaan yang boleh digunakan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak serta membayar hutang," katanya yang dahulunya bekerja sebagai penyelia mesin.
Sementara itu, seorang pegawai kanan kilang berkenaan ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya akan membuat pembayaran tunggakan gaji dan pampasan selepas proses perbincangan selesai dan jumlah sebenarnya dimuktamadkan.
"Jumlahnya dianggarkan RM700,000 dan kita kini dalam proses perbincangan menerusi kesatuan pekerja, selain itu jumlah tuntutan yang sebenar perlu dimuktamadkan oleh peguam...tunggu semua sudah selesai baru syarikat akan bayar," katanya.
Sumber Pekerja tuntut gaji dan pampasan
0 Response to "Pekerja tuntut gaji dan pampasan"
Post a Comment