SEATTLE: Seorang wanita Malaysia bakal mengetuai sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memperbaiki kehidupan di bandar yang pesat membangun, menempatkan dua pertiga penduduk dunia menjelang 2050.
Setiausaha Agung PBB melantik Datuk Maimunah Mohd Sharif, seorang perancang bandar bertauliah dan ketika ini Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, untuk mengetuai UN-Habitat berpusat di Kenya.
Maimunah sebelum ini menguruskan Tapak Warisan Dunia Georgetown, Pulau Pinang, kawasan tertua di bandar kedua terbesar Malaysia, popular dengan pelancong kerana sejarah penjajahan dan seni bina.
Sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Maimunah perlu mencari penyumbang dana untuk agensi berusia 40 tahun itu, yang jauh merosot di bawah kepimpinan bekas Datuk Bandar Barcelona, Joan Clos.
Satu lagi fokus utama beliau ialah melaksanakan New Urban Agenda agensi itu, visi 20 tahun untuk bandar mapan, diterima pakai dalam persidangan Habitat III tahun lalu di Ecuador.
UN-Habitat meramalkan jumlah penduduk yang tinggal di bandar hampir dua kali ganda sebanyak tujuh bilion menjelang 2050 berbanding 3.7 bilion ketika ini dengan ramai tinggal di kawasan bandar yang tidak terancang dengan sempurna.
Acara besar pertama Maimunah Februari 2018 ialah di Kuala Lumpur yang akan menganjurkan World Urban Forum, acara global perdana PBB berkaitan bandar.
Perhimpunan Agung PBB dijangka secara rasmi meluluskan pelantikan Maimunah tidak lama lagi, kata badan dunia itu dalam satu kenyataan.
Sebelum Clos yang mengambil alih jawatan itu pada 2010, UN-Habitat diketuai bekas Menteri Perumahan Tanzania, Anna Tibaijuka. -Reuters
Sumber Datuk Bandar Pulau Pinang ketuai agenda perbandaran PBB
0 Response to "Datuk Bandar Pulau Pinang ketuai agenda perbandaran PBB"
Post a Comment