Ubah bentuk badan untuk lakonan. (Pic: Instagram @shaheizy_sam)
Shaheizy Sam, dilihat antara pelakon yang benar-benar komited merealisasikan apa saja watak yang diamanahkan. Tidak hanya hebat dengan emosi lakonan, suami kepada Syatilla Melvin ini juga sanggup membuat perubahan fizikal demi menghidupkan tuntutan watak.
Lihat saja watak Naufal yang dihidupkan dalam filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali hingga sanggup mengurangkan berat badan sampai cengkung bagi gambaran fasanya bertarung dengan kesakitan. Malah sebelum itu menerusi watak Inspektor Khai dalam filem Polis EVO pun, dia membina otot badan supaya jadi sado.
Saat ini pun bagi meneruskan kelangsungan watak polis itu dalam sekuel filem berkenaan yang sedang rancak menjalani penggambaran, pelakon berusia 35 tahun itu terus rancak berdiet dan bersenam. Baginya, dia mempunyai kepuasan tersendiri dengan berbuat begitu.
“Saya melihat Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri sudah menjadi contoh. Ketika hayatnya sudah lama tiada, apa saja mengenainya diri, lakonan dan filem arahannya masih diingati serta bernyawa. Apapun saya percaya filem lakonan sendiri juga akan hidup beratus tahun seperti mana Allahyarham.
“Jadi saya juga mahu meninggalkan impak tersendiri setidak-tidaknya untuk kepuasan diri atau mereka yang menghargai. Sebagai contoh saya mungkin diingati sebagai salah seorang pelakon yang cuba meletakkan usaha tinggi mewarnai pelbagai karakter. Walaupun sedar dan tahu, pasaran filem kecil, kita takkan tahu apa saja kemungkinan boleh terjadi.
“Malah Tuhan sering berpesan, sesuatu itu takkan berjaya hanya berbekalkan doa semata-mata. Kita kena usaha. Lalu, kita takkan tahu usaha yang saya lakukan ini barangkali dapat buka pintu rezeki ke tempat lain. Tak rugi pun berusaha,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Sekali pun, sedar dengan skeptikal yang mungkin terbit bahawasanya filem Malaysia hanya ditonton orang sendiri, itu tidak pernah menghalang anak kesayangan Khaty Fauziah ini mengambil pelbagai inisiatif dalam menghidupkan watak.
“Mana tahu jika ada produksi luar negara yang mahu menjalani penggambaran di Malaysia mahu mencari pelakon tempatan dan mungkin nama saya yang terlintas sebagai pilihan serta dan dikaji sebagai pelakon yang sentiasa meletakkan usaha tinggi untuk lapangan kerjanya.
“Kita takkan tahu semua ini barangkali akan jadi kenyataan,” katanya.
Terlanjur bertanyakan hal mengenai perkembangan filem Polis Evo 2, dia mengakui rutin sama diteruskan dalam membina badan serta menjaga diet seperti mana dilakonkan pada musim terdahulu.
“Ada juga yang mengandaikan apa saya lakukan terhadap badan untuk musim pertama dan sekuel berbeza. Sebenarnya sama saja. Cuma untuk kali ini, saya dan pelakon lain ada masa panjang untuk membuat persediaan. Kali ini saya sendiri mula jaga badan dan diet sejak bulan November tahun lalu.
“Bagaimana ia terganggu kerana saya mengalami kecederaan dan perlu berehat selama tiga bulan. Jadi secara keseluruhannya hanya lapan bulan. Jadi saya habis-habisan melakukan yang terbaik dalam mencapai sasaran fizikal yang diingini. Sedangkan untuk filem ini musim pertama, saya hanya ada sekitar empat kelima bulan saja masa yang ada.
“Malah dua minggu sebelum penggambaran saya diuji kerana diserang denggi. Bayangkan badan ketika itu menguncup. Saya cuba curi masa waktu penggambaran untuk kembali naikkan otot badan. Hal itu jugalah yang saya cuba ‘balas dendam’ balik bagi mendapatkan fizikal yang sesuai dengan perwatakan saya sebagai polis,” katanya.
“Jujur saya boleh katakan, sekuel kali ini lebih gempak dan hebat daripada banyak segi termasuk barisan pelakon, jalan cerita, kualiti gambar dan macam-macam lagi,” katanya.
Ditanya mengenai ketegasannya membina badan dan berdiet, dia mengakui tidak bersikap sambil lewa.
“Tegas memang tetap tegas. Cuma menerusi pengalaman filem ini yang pertama termasuk perlu kedingkan badan untuk filem Pinjamkan Hatiku, saya lebih tahu itu ini. Saya lebih tahu bagaimana nak kembang atau kuncupkan badan.
“Setiap pagi pun saya cuba bakar kalori sekurang-kurangnya 300 kalori. Kalau rasa termakan lebih malam sebelumnya, saya akan pastikan pecutan larian itu lebih laju,” katanya yang memulakan penggambaran filem Polis Evo 2 sejak Oktober lalu.
Sumber “Biarlah Setiap Lakonan Saya Meninggalkan Impak” - Shaheizy Sam
0 Response to "“Biarlah Setiap Lakonan Saya Meninggalkan Impak” - Shaheizy Sam"
Post a Comment