Penyanyi Elyana mengumumkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat. — Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 27 Nov — Penyanyi Elyana mengumumkan dirinya menghidap sakit kanser tahap empat semasa tersingkir daripada rancangan realiti televisyen Gegar Vaganza musim keempat (GV4) minggu kelima malam tadi.
Elyana, atau nama sebenar Emeelya Elyana Emrizal, 30, ketika berucap atas pentas turut meminta individu lain yang senasib dengannya agar terus kuat dan bersemangat menempuh dugaan, lapor mStar Online.
Mengulas lanjut penyanyi Tak Tercapai Akalmu itu dalam sidang berkata dirinya menghidap kanser limfoma sejak 2013.
"Sekarang ini kanser memasuki tahap empat dan saya sudah menjalani berpuluh kali rawatan kimoterapi, kali terakhir sebelum bulan Ramadan lalu. Malah, saya juga ada mencuba rawatan secara tradisional.
"Saya berhenti rawatan kimoterapi kerana mahu tumpukan pada persembahan Gegar Vaganza dan berasakan hanya dengan berfikiran positif membuatkan saya lupa tentang penyakit," katanya seperti dilapor portal itu.
Pelakon drama bersiri Dunia Baru itu berkata sakit itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum dan hanya diketahui ahli keluarga dan teman-teman rapat.
"Saya tak mahu kongsi perkara yang membuatkan orang jadi sedih dan sebolehnya saya mahu semua orang gembira sahaja," katanya.
"Selepas pengumuman ini, saya berharap mampu membuka masyarakat mengenai penyakit kanser dan menjaga kesihatan sebaiknya."
Elyana berkahwin dengan Khairul Anuar Hussin pada November 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Cinta Sumayyah, 6.
Sumber Tersingkir GV4, Elyana umum hidap kanser tahap empat
0 Response to "Tersingkir GV4, Elyana umum hidap kanser tahap empat"
Post a Comment