Kapal separuh karam, sembilan warga Indonesia terselamat

Kapal 'Barter Trade' KLM Berkat Sejati yang membawa muatan kelapa tenggelam di kedudukan kira-kira 22.5 batu nautika dari Kuala Terengganu berhampiran perairan Kuala Merchang 26 November 2017. — Foto BernamaKapal 'Barter Trade' KLM Berkat Sejati yang membawa muatan kelapa tenggelam di kedudukan kira-kira 22.5 batu nautika dari Kuala Terengganu berhampiran perairan Kuala Merchang 26 November 2017. — Foto BernamaKEMAMAN, 27 Nov — Tragedi kapal kargo dari Indonesia yang karam di perairan Terengganu pada awal bulan ini berulang lagi pada pukul 7.40 pagi semalam melibatkan sembilan anak kapal warga Indonesia yang berusia 24 hingga 56 tahun.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Muhammad Rezal Kamal Bashah berkata bagaimanapun semua sembilan anak kapal itu berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal keselamatan pelantar kira-kira 22.5 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

“Kapal kargo itu belayar dari Kuala Enok, Indonesia enam hari lepas dengan membawa muatan kelapa sebanyak 147 tan metrik menuju ke Takbai, Thailand untuk urusniaga sistem barter.

“Bagaimanapun, kapal yang mereka naiki itu mengalami kebocoran dan mula dimasuki air sehingga menyebabkan separuh bahagian kapal itu karam,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Isyarat kecemasan kapal kargo Indonesia itu berjaya didengari oleh kapal keselamatan pelantar “Grade One Manjung 1” yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dari pelantar minyak Cakerawala di sempadan Malaysia-Thailand.

Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC Putrajaya) pula menerima maklumat itu pada pukul 8.25 pagi dan telah memaklumkan kejadian kepada Pangkalan Maritim Kemaman untuk tindakan susulan.

Muhammad Rezal berkata kedudukan kapal keselamatan pelantar itu dengan lokasi kapal kargo itu ialah tujuh batu nautika.

“Kapal keselamatan pelantar itu mengambil masa 50 minit untuk sampai ke lokasi kejadian dan menggunakan jaring yang digantung pada kren untuk menyelamatkan semua mangsa.

“Ketika sampai di lokasi, kesemua mangsa masih berada di atas kapal itu kerana hanya sebahagian strukturnya karam dan kesemua mereka berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dalam masa lima hingga ke 10 minit,” katanya.

APMM menyifatkan tindakan kru kapal “Grade One Manjung 1” itu sebagai tindakan berani dan kesemua 16 anak kapal adalah wira kerana sanggup mengharungi ombak setinggi 3.5 hingga empat meter ke lokasi bagi menyelamatkan semua mangsa dalam tempoh lima minit sahaja.

“APMM akan memberikan sijil penghargaan kepada 16 anak kapal keselamatan pelantar tersebut sebagai mengiktiraf usaha dan keberanian mereka untuk menyelamatkan sembilan warga Indonesia itu.

“Sijil penghargaan akan diberi esok [hari ini] kepada anak kapal keselamatan pelantar itu sebelum mereka kembali bertugas ke Pelantar Cakerawala yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Thailand,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Pangkalan Maritim Kemaman semalam, Mara Sofyan Dalimunthe, 43, seorang daripada yang diselamatkan berkata, "Kami hanya pasrah ketika itu dan reda dengan ketentuan Allah untuk apa sahaja kemungkinan yang berlaku sama ada hidup atau mati,"

Mara adalah nakhoda kapal kargo itu.

Katanya, beliau dan lapan kru yang lain menyedari kapal mereka mempunyai masalah pada pukul 2 pagi.

“Kami mendapati bahagian enjin kapal dimasuki air dan cuba mengenalpasti punca kebocoran namun tidak berjaya. Keadaan diburukkan lagi dengan hujan lebat dan ombak besar ketika itu.

“Semua sembilan anak kapal terus membaiki keadaan dengan pelbagai cara namun gagal dan kapal mula dimasuki air dengan lebih banyak sehinggalah keadaan semakin genting apabila sebahagian kapal tenggelam pada pukul 7 pagi.

“Kami bertuah kerana isyarat kecemasan kami didengari sebuah kapal Malaysia, Grade One Manjung 1 yang datang menyelamatkan kami pada pukul 8.40 pagi,” katanya.

Bapa kepada enam anak berusia lingkungan lima hingga 17 tahun itu berkata mereka sangat terhutang budi dengan kapal Malaysia itu.

Bagi seorang lagi anak kapal, Overianus Waruwu, 24, tragedi kapal karam itu adalah pengalaman yang paling getir dalam hidupnya tambahan pula ini adalah pelayaran pertamanya menuju ke Thailand.

“Saya diberitahu anak kapal lain biasanya pelayaran ke Thailand hanya memakan masa empat hari namun disebabkan cuaca buruk, pelayaran kali ini dijangka mengambil masa enam hari.

“Sukar untuk kami ungkapan penghargaan yang begitu banyak untuk Malaysia atas budi baik anak kapal mereka menyelamatkan kami semua,” katanya yang tidak sabar mahu berkongsi pengalaman itu bersama keluarganya di Sumatera.

Sementara itu, kapten kapal keselamatan pelantar, Kapten Nor Shukri Muhammad berkata sebaik mendengar isyarat kecemasan tersebut, beliau mengarahkan semua 15 anak kapal untuk bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika sampai, kesemua mereka berada dalam keadaan yang sangat lemah dan berada di bumbung kapal untuk menyelamatkan diri.

“Kejadian ini sukar diduga...apabila berada di laut kemungkinan seperti ini sentiasa ada.

“Kebetulan kami dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Bekalan Kemaman. Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya yang pertama kali menyelamatkan anak kapal lain sepanjang 21 tahun bertugas di lautan. — Bernama



Sumber Kapal separuh karam, sembilan warga Indonesia terselamat

Related Posts :

0 Response to "Kapal separuh karam, sembilan warga Indonesia terselamat"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect